NASIONAL

Julung kali Malaysia tuan rumah ‘Mrs Tourism Queen International 2018’

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Buat pertama kalinya Malaysia menjadi tuan rumah bagi pertandingan ‘Mrs Tourism Queen International’ yang diadakan pada 30 Ogos lalu.

Bertempat di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, pertandingan itu menyaksikan 28 ‘queen’ hadir dari seluruh dunia termasuk negara Eropah seperti Asia, Amerika, Afrika dan Oceania berentap untuk penganugerahan tiara Mrs Tourism Queen International 2018.

Pengasas dan Pengarah Sentinel Pageant, Janet Foo berkata, pertandingan itu bertujuan meningkatkan sektor pelancongan, memupuk pertukaran budaya antarabangsa dengan lebih meluas dan mengeratkan persahabatan antara negara.

Katanya, pesona kecantikan seseorang itu terbukti membantu meningkatkan industri pelancongan di seluruh dunia.

“Kami di Sentinel Pageant berbangga diberi peluang oleh ERM Marketing yang terkenal di dunia membantu menganjurkan edisi pertama Pertandingan Mrs Tourism Queen International.

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada ERM Marketing, semua rakan kongsi, penaja dan peserta atas sokongan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Janet berkata, Sentinel Pageant berjaya menganjurkan Mrs Tourism Queen International 2017 dan sejak itu ia mendapat pelbagai sokongan serta pengiktirafan untuk menguruskan pertandingan berkenaan.

Bagaimanapun, Janet berkata, pertandingan kali ini lebih besar kerana ia melibatkan peserta antarabangsa yang pernah menyertai Mrs Tourism Queen International 2017.

“Selama berbulan, peserta melalui latihan yang amat ketat dan penuh disiplin daripada segi gaya serta dandanan bagi memastikan mereka bersedia untuk pertunjukan ‘Grand Final’.

“Mereka juga menghadiri Encore Melaka dan belajar mengenai pameran pelancongan kreatif dengan menggunakan ’emotive storytelling’, muzik dan koreografi,” katanya.

Sementara itu, Janet berkata, kebanyakan peserta terlibat memuji penganjur melakukan pekerjaan yang luar biasa dengan memastikan semua logistik, makanan dan tempat tinggal bukan sekadar dijaga baik, tetapi bertaraf dunia.

“Semangat ‘Malaysia Truly Asia’ diringkaskan dalam pertandingan itu sebagai Sentinel mengekalkan keramahan rakyat Malaysia yang mesra untuk memenuhi keperluan para peserta,” katanya.

Antara senarai pemenang pada malam itu Mrs Tourism Queen International 2018 dimenangi Mrs Brazil, Ana De Backer manakala kedua dimenangi Mrs South Africa, Lisinda Hodgskin dan Malaysia menduduki tempat ketiga dimenangi oleh Katrina Loo Siew Ling.


Pengarang :