SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

Kursus Kulinari Suri Rumah jana pendapatan sampingan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 SEPT: Seramai 30 wanita dari 10 Pusat Wanita Berdaya (PWB) akan dipilih menyertai kursus kulinari selama tiga bulan yang akan dikendalikan oleh Chef terkemuka negara, Mohd Anuar Draman.

Exco Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, kursus terbabit bertujuan untuk memberi pendedahan dan membimbing wanita atau suri rumah menjana pendapatan sampingan.

Katanya, ia akan merangkumi tiga tahap iaitu pembuatan, pembungkusan dan pemasaran.

“Mereka ini boleh mendapatkan borang di PWB masing-masing dan akan dipilih berdasarkan ujian pembuatan yang akan diajar Chef Anuar terlebih dahulu.

“Sekiranya hasil dan rasa sama, mereka akan dipilih. Syarat yang dikenakan agak ketat kerana kita mahu mereka yang benar-benar berminat menjadi usahawan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Air Tangan YB, bersama Chef Anuar, di Dewan Beringin, Seksyen 24, di sini.

Pada masa sama, Rodziah berkata, menjelang 2020, Kerajaan Negeri mensasarkan golongan berkenaan memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya sebanyak RM4,000 sebulan.

Katanya, pelbagai platform program keusahawanan akan dirangka selepas ini membabitkan pelbagai golongan dalam usaha menambah pendapatan mereka.

“Saya melihat banyak potensi usahawan Selangor untuk memperkembangkan produk terutamanya Makanan dan Minuman (F&B) ke luar negara.

“Saya juga merancang untuk memasarkan produk usahawan kecil F&B ini antaranya menyediakan mesin dan pengguna boleh membeli menerusi mesin terbabit,” katanya.


Pengarang :