BERITA UTAMANASIONAL

Pemberian biasiswa pelajaran bantu Bumiputera terokai pelbagai sektor baharu

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Langkah Kerajaan memperkenalkan biasiswa pelajaran tanpa merit kepada Bumiputera bagi menyambung pelajaran di dalam dan luar negara sebenarnya memberikan impak positif tanpa disedari pelbagai pihak.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, biasiswa itu tidak hanya diberikan kepada calon yang hanya mendapat keputusan tertinggi tetapi turut dibuka kepada calon lain kerana mereka juga berpotensi untuk berjaya.

“Dapat nombor dua, tiga empat atau lima juga mempunyai kelebihan. Kita beri biasiswa tidak hanya kepada nombor satu tetapi kepada yang lain dan mendapat peluang belajar di universiti dalam dan luar negeri.

“Walaupun bukan dalam kelas terbaik tetapi keputusan mereka menggalakkan serta berjaya dalam peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara 2018; Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Mengulas lanjut sebagai contoh beliau berkata, dahulu hanya golongan Bumiputera dan Melayu yang berjaya menjadi doktor sekitar dua peratus tetapi jumlah itu berjaya ditingkatkan kepada 40 peratus hasil daripada pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Keadaan itu turut dipengaruhi dengan mentaliti diterapkan penjajah British yang hanya mengambil orang Melayu memenuhi jawatan kerani satu ketika dahulu.

“Alhamdulillah hasil DEB ramai berkebolehan dan berjaya cipta kejayaan. Walaupun ada yang anggap ia tidak adil memberi biasiswa kepada orang tanpa menggunakan merit,” katanya.

 


Pengarang :