EKONOMI

Ringgit dijangka diniaga antara 4.13 dan 4.15 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Ringgit dijangka diniagakan antara 4.13 dan 4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan ketidaktentuan mata wang negara maju itu serta kebimbangan terhadap perang perdagangan AS-China yang berlarutan, kata peniaga.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran, FXTM Global, Jameel Ahmad berkata unit tempatan tidak akan dipengaruhi oleh ekonomi Malaysia atau laporan berita domestik bagi minggu akan datang.

“Saya rasa kita tidak boleh menolak kemungkinan lebih banyak ketegangan perdagangan akan berlaku, oleh itu saya lebih melihat tekanan terhadap pasaran mata wang negara pesat membangun akan berulang pada minggu depan.

“Bagaimana prestasi dolar AS seterusnya ketika memasuki suku terakhir 2018 adalah sukar dipastikan,” katanya dalam nota.

Beliau berkata ancaman Presiden Donald Trump untuk mengenakan tarif baharu terhadap China, selain amaran untuk mengeluarkan Kanada daripada Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta) akan mendorong dolar AS mengukuh dalam masa terdekat berikutan kebimbangan pertikaian perdagangan.

Jameel turut menyifatkan tempoh sepanjang minggu ini sebagai pelik bagi ringgit yang bergelut mendapatkan petunjuk sama seperti mata wang serantau lain.

“Ringgit terbukti lebih berdaya tahan terhadap kenaikan kadar faedah AS baru-baru ini dan harga minyak mentah yang meningkat kepada paras tertinggi sejak 2014.

“Namun unit tempatan dijangka mengakhiri minggu dengan mengalami tekanan selepas maklumat terbaru mengesahkan ekonomi AS berkembang melebihi empat peratus yang sekali gus menyaksikan aktiviti belian dolar AS secara ketara pada tengah hari Khamis,” katanya.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 4.1370/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1280/1320 minggu lepas.

Bagaimanapun, ringgit tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.6472/6501 daripada 3.6609/6654 minggu lepas dan stabil berbanding euro kepada 4.7969/7007 daripada 4.8607/8679.

Ringgit tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0232/0263 daripada 3.0271/0304 minggu lepas dan kukuh berbanding pound Britain kepada 5.3984/3044 daripada 5.4428/4501.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :