NASIONAL

Dasar warga emas masih releven

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Kerajaan Persekutuan tiada perancangan untuk meminda dasar sedia ada atau mewujudkan dasar baharu untuk warga emas, begitu kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, ia memandangkan falsafah, nilai dan prinsip dasar masih relevan dan adalah diadaptasi daripada prinsip antarabangsa Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Madrid International Plan of Action on Ageing.

“Bagaimanapun, kementerian sedang dalam proses menyemak semula Pelan Tindakan Warga Emas (PTWEN) 2018-2030 bagi menambah baik perancangan program serta pelaporan dan pemantauan.

“Kementerian juga sedang meneliti cadangan mewujudkan satu akta khusus untuk warga emas bagi melindungi kebajikan dan hak asasi golongan itu.

“Terdapat satu akta telah diluluskan iaitu Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 yang akan dikendalikan Kementerian Kesihatan,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad dalam sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Berdasarkan kepada Kajian Kemudahan dan Perkhidmatan untuk Memenuhi Keperluan Warga Emas menjelang 2030 dilaksanakan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia (MyAgeing, UPM), lebih 80 peratus responden mengharapkan mereka dijaga anak mereka dan diikuti pasangannya.

Selain itu, katanya, hampir 78 peratus tidak ingin berpindah dari tempat kediaman semasa mereka.

“Penemuan ini menunjukkan warga emas lebih cenderung untuk menua di tempat semasa atau ‘ageing-in-place’.

“Maka segala pelan dan program kerajaan harus mengunjur terhadap keperluan atau hasrat majoriti warga emas,” katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif kerajaan ialah menggalakkan Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam kalangan warga emas dilaksanakan melalui program University of 3rd Age (U3A) oleh MyAgeing, UPM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, institut pendidikan tinggi seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) juga menyediakan infrastruktur mesra warga emas dan memberi diskaun antara 50 hingga 75 peratus dari yuran pengajian kepada mereka kurang mampu bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.

“Jumlah warga emas mengikuti peringkat pengajian pada 2017 ialah profesional seramai dua orang, diploma (20), sarjana muda (42), sarjana (52) dan doktor falsafah (179),” katanya.


Pengarang :