SASTERA

Mencari bintang di dalam secangkir kopi kelat

Oleh Nieyna J

April. Balkoni resort, Panuba Inn. Pulau Tioman.

Bayu laut meniup lembut, membelai pipi dan tubuhku seolah-olah memberitahu mereka sedang berbicara dengan bisu-bisu perasaanku saat ini. Pandangan mula keluar dari soket mata, berpijak pada ratusan bintang di langit kemudian berlari ke arah hamparan laut yang luas. Malam ini tidak ada tarian pena di atas kertas kumal atau fokus lensa dari kamera. Keindahan tentang dia adalah enigma yang tidak terungkai dengan berjuta puisi dan imej polaroid dari mata fotografi. Dia umpama bahasa asing yang sukar difahami, aksara seolah bersembunyi saat pen di hadapkan ke muka kertas untuk dilakar-tulis dengan kata-kata, kelu dan bisu. Aku mencicip kopi panas sedikit demi sedikit sambil minda merawang mencari-cari butang rewind untuk ditekan. Aku mahukan kisah tentang dia ditayangkan semula dalam ruang kesunyianku malam ini. Aku sedut sedalamnya aroma kopi dan bau laut sambil menutup mata. Bau kedua-duanya seperti aroma tubuhnya. Tenang.

Butang  rewind ditekan. Tayangan dimulakan.

Jun, enam tahun lepas. Di balkoni pangsapuri.

Mataku masih lagi tertancap pada skrin komputer riba, kopi hangat kuteguk perlahan. Masih lagi di cerita yang sama, belum selesai. Kehabisan idea untuk menulis. Aku larikan pandangan terus ke arah wajahnya yang sedang mendongak melihat langit. Tulang rahangnya terbentuk elok dan hidung mancungnya kelihatan cantik apabila dilihat dari tepi. Dari tadi dia merenung bulan yang tergantung pada pokok langit, sambil bibirnya mengukirkan senyuman yang tidak berjawapan. Pantulan cahaya bulan kelihatan seperti bola jingga yang sedang berenang-renang di dalam anak matanya. Helaian rambut yang jatuh ke pipi dia tolak ke belakang telinga dengan jari sambil tangan kanannya melingkari tubuh cawan berisi kopi yang aku bancuh.

Dia mengalihkan pandangan ke arah aku kemudian tanya, “cantik bulan malam ni kan?” Lamunanku terhenti, aku mendongak ke atas melihat langit dan jawab, “ ya,cantik. Segala bentuk fizikal yang dilihat dari jauh sememangnya kelihatan sempurna.” Dia hanya tersenyum ringkas kemudian balas, “ tapi tidak awak. Semakin dekat, semakin cantik.” Aku tergelak kecil, sedikit terusik dengan ayat manisnya itu. Dia mengangkat cawan, berdikit-dikit mencicip kopi yang masih hangat kemudian,“ jika diberikan peluang untuk mengundur waktu, perkara apa yang awak akan minta? Terhad hanya tiga” .

Aku jawab dua, aku simpan satu. Dia tanya “ Apa lagi satu?” Aku hanya diam sambil memaku fokus ke wajahnya, mengelus dagu yang tidak berjambang seolah berfikir, sementara kilauan matanya seperti sebuah kamera yang tidak sabar-sabar menunggu bila waktunya punat record bisa ditekan sebaik saja soalan itu dijawab untuk dia rakam dan simpan. Perlahan aku mengatur perkataan dan jawab, “Saya simpan lagi satu, kalau-kalau saya tersalah pilih, masih ada satu lagi peluang.”

Malam ini, aku ingin gunakan satu lagi peluang yang aku ada hingga ke hari ini. Aku mahu kau pinjamkan waktu, telinga dan matamu untuk aku. Itu permintaan terakhir yang aku simpan. Mungkin sudah terlambat, bukan?

Dan entah mengapa sejak dia pergi, sunyi itu lebih menenangkan walhal ia sesuatu yang menyakitkan.

Ogos, enam tahun lepas. Di balkoni pangsapuri.

Sudah menjadi kebiasaan di hujung minggu dia menemani aku membaca. Seperti biasa, dia hanya diam tanpa bicara, yang kudengar hanya sayup bunyi instrument yang dimainkan dan suara penyanyi dari fon telinga yang dia pakai. Dan kesunyian ini merdu untuk seketika.

Tiba-tiba dia menyentuh lembut tanganku lalu dilukiskan bintang dengan jari telunjuknya di atas telapak tangan itu dan digerakkan ke dada aku, “ bila kesuyian menyentuh hati awak, ingat bintang ini adalah saya dan dia akan di sini sampai bila-bila”. Jari-jarinya terasa hangat apabila menyentuh jari-jariku yang kesejukan dihembus angin malam. Pandangan bertukar ganti antara lukisan bintang yang tidak kunampak garis bentuknya dan mata redupnya yang merenung lembut ke arah aku. Aku hanya tersenyum membalas renungan itu. Dadaku berombak perlahan saat anak matanya memandangku, seolah ada satu perasaan asing yang tidak mampu aku tolak dari terus menerokai seluruh pintu hati.

Aku mendongak ke langit sambil tangan diangkat perlahan berpura memetik salah satu bintang di antara yang paling terang di pokok langit malam ini. Aku ambil satu dan letakkan di dada kemudian berbisik , “ adakah kau masih di sini?”

Disember, enam tahun lepas. Di balkoni pangsapuri.

Wajahnya masih tertunduk, tekun melukis pemandangan pantai dan laut di atas helaian kosong buku notaku. Dia pandang aku sekilas, kembali melukis kemudian bersuara,  “ Malam ini kita pejamkan mata,keluar dari realiti dan pergi ke sebuah pulau yang belum pernah orang pergi. Sunyi tanpa siapa pun, macam saya lukis ni. Cuma kita, nak tak?” Aku balas permintaannya dengan ketawa kecil dan mengangguk perlahan tanda setuju. Sejujurnya, aku tidak pernah membayangkan apa yang dia gambarkan. Dia tersenyum memandang riak wajahku yang sengaja dibuat-buat, kemudian kembali melukis. Pada saat itu, aku masih belum mengerti perasaan apa yang aku rasakan ini.

Malam ini, aku mahu pejamkan mata dan berada di dalam mimpi yang kau mahu wujudkan dulu. Adakah masih kau tunggu?

Kopi telah kuhirup habis. Tayangan tamat.

Alunan muzik blues dari kafe resort masih sayup-sayup kedengaran, belum lagi berhenti. Di kafe itu orang-orang berbahagia demi menghiburkan kesedihan mereka dan aku di sini berbahagia meraikan kesedihan yang aku rasakan ini, sebenarnya adalah [cinta].


Pengarang :