SELANGOR

50% Belanja Mengurus, 50% Belanja Pembangunan

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 23 NOV: Belanjawan Selangor 2019 menyaksikan Kerajaan Negeri bakal melaksanakan perbelanjaan seimbang dengan peruntukan Belanja Mengurus dan Belanja Pengurusan masing-masing berjumlah RM1.28 bilion.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bagi Belanja Mengurus, sejumlah RM437.3 juta diperuntukkan untuk emolumen dan RM526.5 juta bagi perkhidmatan dan bekalan.

“Manakala, RM221.98 juta disediakan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap serta RM8.96 juta untuk pembelian aset dan RM85.26 juta untuk perbelanjaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019 di Dewan Annex, hari ini.

Memperincikan peruntukan pembangunan, Amirudin berkata Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sejumlah RM1.28 bilion atau 50.0 peratus daripada jumlah keseluruhan anggaran belanjawan.

Katanya, ia memberi penekanan kepada enam teras utama belanjawan iaitu infrastruktur, ekonomi, pendidikan, sosial, luar bandar dan kesihatan

“Kerajaan Negeri masih menekankan pembangunan fizikal dengan sebanyak 39.1 peratus dianggarkan untuk menampung perbelanjaan pembangunan infrastruktur iaitu sejumlah RM500.2 juta.

“Perbelanjaan infrastruktur ini akan mendokong perkembangan ekonomi Negeri Selangor dengan peruntukan sebanyak RM333.8 juta atau 26.1 peratus untuk memacu ekonomi negeri untuk terus berkembang dan mampan pada 2019,” katanya.


Pengarang :