EKONOMI

Anjakan minda PKS jadi cabaran utama capai Revolusi Perindustrian 4.0

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Anjakan minda perniagaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menjadi cabaran utama untuk mengubah diri mereka agar selari dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Ketua Rantau ASEAN Internet Perkara (IoT) Perindustrian Advantech Co. Malaysia Sdn Bhd, Elvin Ng berkata, PKS keberatan untuk bergerak satu langkah ke depan, mungkin disebabkan masalah kewangan atau infrastruktur dalaman.

Bagaimanapun, beliau berkata Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 dikenali sebagai Industry4WRD yang dilancarkan bulan lepas, boleh membuka jalan bagi transformasi perniagaan ini kerana beliau percaya Malaysia masih berada di hadapan dari segi teknologi dan pembangunan bakat berbanding beberapa negara tertentu.

“IR 4.0 bukan prosedur operasi standard, ia adalah proses transformasi perniagaan dan ia bergantung kepada sejauhmana agresif dan inovatif (syarikat itu) dan inisiatif korporat yang diambil. Saya menjangka Malaysia akan mencapai IR 4.0 sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun,” katanya pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM) baru-baru ini.

“Kami percaya IR 4.0 telah dimulakan sejak 2009 dan kita telah melalui pelbagai fasa kerjasama teknologi,” katanya kepada Bernama.

Ekosistem Co-Creation Advantech, kata Ng, adalah satu konsep untuk kejayaan IoT masa depan, kerana ia bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menyediakan penyelesaian yang memberi fokus pada domain untuk pelbagai aplikasi dan untuk mewujudkan ekosistem Industri 4.0 tempatan untuk mempercepat transformasi perindustrian.

“Ia adalah model perniagaan, konsep transformasi antara teknologi dan pemain tempatan yang mewujudkan perniagaan baru, supaya ia dapat membantu usahawan tempatan keluar dari Malaysia ke Asia Tenggara dan ke seluruh dunia,” katanya.

Setakat ini, Advantech Malaysia telah menubuhkan satu pusat kecemerlangan dan hab perniagaan di Bandar Utama, Petaling Jaya, kerana ia akan menyokong proses penciptaan bersama serantau, yang kini memberi tumpuan kepada Asia Tenggar, dan membawa hubungan ke Malaysia.

“Penciptaan bersama telah bermula dua tahun lalu dan kini kami telah menentukan 13 rakan kongsi penciptaan global dan sejak dua minggu lalu kami telah terlibat dengan dua lagi syarikat dari Malaysia,” tambahnya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :