SELANGOR

Pengurusan bola sepak bawah satu payung

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 28 NOV : Walaupun gagal meraih kejuaraan di peringkat utama Liga Malaysia, pencapaian bola sepak Selangor bagi musim 2018 masih boleh dianggap memuaskan berdasarkan prestasi seluruh peringkat bola sepak negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pada tahun ini terdapat beberapa pencapaian membanggakan seperti kejayaan pasukan Selangor meraih kedudukan Naib Juara Piala FA.

“Pasukan Selangor muncul naib juara Piala FA, PKNS FC pula muncul tempat ketiga Liga Super Malaysia, manakala Selangor juga juara Piala Belia bawah 19 tahun.

“Selain itu, Selangor United FC meraih tempat kedua Liga FAM sekali gus layak ke Liga Perdana musim hadapan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Katanya, pengurusan bola sepak Selangor perlu disatukan di bawah satu payung bagi memastikan bola sepak negeri itu kembali gemilang seperti era sebelumnya.

Beliau berkata, kaedah menyatukan pengurusan itu terbukti mampu memberi kesan positif seperti dilaksanakan oleh pasukan bola sepak Johor Darul Takzim dan pasukan berjaya yang lain.

“Kesemua pengurusan perlu dileburkan dan diletakkan di bawah satu payung,” katanya.


Pengarang :