NASIONAL

ACG rancang keluar kereta nasional ketiga guna 100 peratus LPG

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Astana City Group Sdn Bhd (ACG) merancang berkolaborasi dengan Hyundai dan PAP-Econ Ltd Co bagi merealisasikan projek kereta nasional ketiga negara dengan menggunakan 100 peratus gas petroleum cecair (LPG) sebagai bahan bakar.

Pengarah Urusan ACG, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman berkata, ACG juga berhasrat menjalin kerjasama dengan pemain utama industri LPG terutama Petronas untuk membuka lebih banyak stesen LPG yang dikenali sebagai ‘auto gas station’ di Semenanjung sebelum melebarkan sayap ke Sabah dan Sarawak.

“Penggunaan LPG sebagai bahan bakar dapat mengurangkan karbon dioksida sebanyak 15 peratus daripada petrol.

“Berbanding petrol biasa, penggunaan LPG akan memberi kesan positif dalam usaha penjagaan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Pelancaran LPG Komposit ACGAS di Hotel Royal Chulan, di sini, hari ini.

Nik Mohd Fareez berkata, penggunaan LPG sebagai bahan bakar juga terbukti lebih menjimatkan berbanding petrol biasa sekali gus meringankan bebab rakyat.

Katanya, Kumpulan Hyundai dipilih berikutan syarikat itu merupakan salah satu konglomerat terbesar dunia dan mampu mencetuskan inspirasi kepada syarikat tempatan seperti ACG.

Katanya lagi, langkah berkolaborasi bersama Hyundai juga sejajar dengan dasar pandang ke Timur seperti digagaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Pengarang :