SUKANKINI

Stadium Shah Alam sedia digunakan 3 Februari hadapan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 JAN: Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) mengesahkan pasukan Selangor boleh memulakan sesi ‘try-run’ di Stadium Shah Alam pada 30 atau 31 Januari ini sebelum perlawanan pertama Liga Super 2019 yang bakal berlangsung pada 3 Februari hadapan.

Pengurus Besar DEFM, Rohaidi Tugiro berkata, pihaknya komited untuk menyelesaikan proses balik pulih dan status semasa kerja baik pulih sudah selesai sepenuhnya malahan padang sedia digunakan sebelum perlawanan pertama menetang Felda United.

“Bagi tahun lalu, pengurusan DEFM telah membuat perancangan untuk membaik pulih sebahagian kawasan padang stadium yang mengalami keporosan tanah.

“Masalah ini disebabkan oleh lapisan tanah yang telah menjadi keras (compact) dan ia memberi kesan terhadap tahap serapan air di padang menjadi lambat dan padang becak teruk ketika hujan. Inisiatif ini mengambil masa sekurang-kurangnya 40 hari untuk diselesaikan.

“Mengikut kalendar perlawanan terakhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam adalah pada 14 Disember tahun lalu, iaitu acara Hari Bola Sepak Selangor yang membabitkan perlawanan akhir Selangor Champion League (SCL) dikelolakan oleh SAYs dan turut membabitkan Selangor FA sebagai penganjur bersama.

“Tiada pihak yang datang untuk mendapatkan pencerahan mengenai status baik pulih ini dari pihak DEFM dan komen yang diberikan seolah-olah memberi gambaran pihak kami tidak menjalankan kerja dengan baik sehingga persiapan pasukan Selangor terganggu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, DEFM juga sudah menghubungi Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon bagi memaklumkan kesediaan Stadium Shah Alam untuk digunakan The Red Giants.

“Kami di peringkat DEFM berharap tiada lagi isu seperti ini dibangkitkan pada masa hadapan. Kami sentiasa bersedia bekerjasama dan membantu FAS untuk memberikan venue terbaik kepada pasukan Selangor,” katanya.


Pengarang :