PBTSELANGOR

Sedia tong sampah, elak penting diri sendiri – MDHS

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 FEB: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menggesa penduduk khususnya di sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pecah (SEMEKAP) supaya menyediakan tong sampah individu di kediaman masing-masing.

Jurucakap Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) MDHS berkata, pihaknya akan menjalankan kutipan sampah domestik dari rumah ke rumah dengan kekerapan tiga kali seminggu.

“Kami mengesan terdapat satu lokasi di parkir kereta berhadapan sekolah terbabit menjadi tempat pembuangan sampah domestik secara haram.

“Sebelum ini, kerja pembersihan di lokasi berhampiran sudah dijalankan secara berkala oleh pihak kami namun ekoran sikap mementingkan diri sendiri masih ada penduduk yang membuang sampah domestik di lokasi berkenaan.

“Sebaliknya mereka tidak mahu menyediakan tong sampah individu di premis rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, penghuni di setiap rumah perlu mempunyai tong sampah bagi mengelakkan dikenakan kompaun daripada pihak berkuasa.

“Berdasarkan Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDHS) 2007, penghuni rumah perlu mempunyai tong sampah bertutup dan harus diselenggara dengan baik.

“Kesalahan ini jika didapati benar boleh dikompaun tidak melebihi RM1,000 atau jika disabitkan di mahkamah, boleh didenda tidak melebihi RM2,000, atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Bagaimanapun, penduduk turut diminta mengajukan aduan kepada JPSPPA di talian 03-60641050 jika kutipan sampah domestik di perumahan gagal dilaksanakan pihak berkaitan.


Pengarang :