Selangorkini
NASIONAL

Kenyataan Nurul Izzah sesuai keterbukaan PAKATAN, kata Anwar

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Kenyataan Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengenai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan pandangan terbukanya, sesuai dengan prinsip keterbukaan diamalkan parti gabungan Pakatan Harapan (PAKATAN), kata Ketua Umum PAKATAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan parti gabungan PAKATAN tetap kekal menyokong kepimpinan Dr Mahathir, namun anggota partinya bebas menyuarakan pandangan sekiranya mempunyai pendapat berbeza.

“Kita dalam PAKATAN sudah jelaskan untuk beri ruang dan sokongan terhadap usaha Tun Mahathir. Tidak bermakna kita tidak boleh berbeza pendapat. Ada sesetengah orang fikir ini macam kerajaan terdahulu yang tidak boleh mengkritik.

“Itu pandangan dia (Nurul Izzah) dan ia sudah lama berlaku tapi diperbesarkan The Straits Times. Semua pihak faham dan setuju kepada perjanjian persefahaman antara kalangan kita namun baik kita tumpu kepada agenda pembangunan ekonomi dan membela nasib rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Anwar diminta mengulas kenyataan Nurul Izzah yang dilapor media Singapura, antara lain menyifatkan Dr Mahathir sebagai bekas diktator.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini bahawa Dr Mahathir seorang pemimpin yang tegas dan bukannya seorang diktator sebagai cubaan membodek.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :