SELANGOR

Kerja naik taraf bulatan Kota Kemuning siap Mac ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MAC: Kerja menaik taraf bulatan Kota Kemuning, di sini, dijangka siap penghujung Mac ini, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, projek berkenaan sepatutnya siap tahun lalu, namun lewat berpunca daripada kegagalan kontraktor.

“Saya sudah dimaklumkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bahawa projek ini sepatutnya siap tahun lalu, namun gagal ditepati kontraktor.

“MBSA juga mengambil tindakan terhadap kontraktor berkenaan atas kelewatan. Projek ini dijangka siap pada penghujung Mac ini,” katanya melalui Twitter.

Sementara itu, MBSA memaklumkan pihaknya kini sedang giat menaik taraf bulatan di Jalan Persiaran Anggerik Vanilla dan Persiaran Anggerik Mokara, Kota Kemuning.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSA, Cheremi Tarman berkata, kerja menaik taraf bulatan itu sebagai usaha mengurangkan kesesakan jalan raya dihadapi terutama penduduk Kota Kemuning serta orang ramai yang berurusan di kawasan sekitarnya.

Projek berkenaan menelan kos RM3.7 juta membabitkan penambahan lorong, pelebaran jalan di bulatan, pemasangan empat lampu isyarat dan lapan ‘amber lamp’, jalan susur dan pengalihan kerja utiliti.

Terdahulu, bulatan berkenaan semakin sesak ekoran pertambahan penduduk disebabkan pembangunan kian rancak, di kawasan sekitar.

Malah, lebih teruk apabila kerja menaik taraf yang sedang dilaksanakan menyebabkan kesesakan luar biasa, terutama pada waktu puncak.

Projek berkenaan sebelum itu disuarakan Allahyarham Shuhaimi Shafiei yang juga Ahli Dewan Negeri Sri Muda ketika itu.

Difahamkan, kerja menaik taraf berkenaan sebagai projek jangka masa pendek dan dijangkakan selepas lima tahun, projek membina jejambat yang menelan belanja RM30 juta akan dilaksanakan dengan bantuan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Foto kredit: Sinar Harian


Pengarang :