SELANGOR

LZS bantu bekas pemandu Grab hilang punca pendapatan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghulurkan bantuan kepada bekas pemandu Grab yang hilang punca pendapatan selepas buah pinggangnya bengkak dan bernanah ekoran batu karang, sejak Ogos lalu.

LZS melalui posting di Facebook menyalurkan bantuan awal kepada Ahmad Nuraddin Mohd Yusoff, 39, berjumlah RM500 dan bantuan lain secara bulanan termasuk sewa rumah.

“Beliau yang berstatus duda tinggal di Rawang menghidap sakit batu karang menyebabkan jangkitan pada buah pinggang dan mata serta tidak dapat lagi bekerja membawa Grab.

“Semoga dengan bantuan zakat ini dapat meringankan beban beliau. Semoga beliau diberi kesembuhan dan sihat seperti sedia kala,” kata LZS.

Ahmad Nuraddin turut mengalami situasi malang apabila jangkitan kuman merebak ke bahagian mata dan kanta mata kanannya terpaksa dibuang serta penglihatan mata kiri kabur.

Kini, beliau bimbang tidak dapat membayar sewa biliknya di bangunan kedai di Bandar Rawang, pada kadar RM250 sebulan kerana tidak mampu lagi untuk bekerja.

Malah, wang simpanannya sudah habis dibelanjakan ketika menjalani rawatan dan kini bergantung pada bantuan orang ramai untuk belanja harian.

 


Pengarang :