NASIONAL

Malaysia kutuk keras serangan Christchurch

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 MAC: Malaysia mengutuk sekerasnya serangan tembakan rambang yang dilaporkan berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, sehingga jam 3.00 petang (waktu Malaysia), tiada rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia tetapi dua rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam insiden itu dan dirawat di hospital.

“Malaysia mengutuk sekerasnya tindakan keganasan yang tidak masuk akal ini terhadap orang awam tidak bersalah dan berharap mereka yang bertanggungjawab atas jenayah kejam ini dibawa ke muka pengadilan.

“Ingatan dan doa kita bersama mangsa dan keluarga kejadian tembakan hari ini,” katanya.

Katanya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sedang berhubung dengan rakyat Malaysia di Christchurch dan sedang mengawasi keadaan dengan teliti.

Hotline telah ditubuhkan di Suruhanjaya Tinggi untuk memudahkan sebarang pertanyaan mengenai situasi semasa.

Nombor Telefon: 00-64-210440188 / 00-64-4385 2439 / 00-64-4801 5659

E-mel: [email protected] [email protected]


Pengarang :