KUALA LUMPUR, 30 Mac — Atlet pecut negara Muhd Zulfiqar Ismail (kiri) memenangi pingat Perak selepas tewas kepada atlet Indonesia Lalu Muhammad Zohri (tengah) dan menewaskan atlet Chinese Taipei Wei-Hsu Wang (kanan) yang memenangi Gangsa pada acara Akhir 100 Meter Lelaki pada Kejohanan Olahraga Grand Prix Terbuka Malaysia Edisi Pertama di Stadium Bukit Jalil hari ini.?–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA?
SUKANKINI

Muhammad Zulfiqar intai tempat pada Kejohanan Asia 2019

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Pelari pecut negara, Muhammad Zulfiqar Ismail, mengintai peluang untuk berada dalam skuad olahraga negara ke Kejohanan Olahraga Asia 2019 di Doha, Qatar, bulan depan.

Pelajar prauniversiti Sekolah Sukan Tunku Ismail berusia 20 tahun itu mengakui persaingan merebut tempat ke kejohanan berkenaan amat sengit memandangkan kesemua pelari pecut negara terutamanya Jonathan Nyepa, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Aqil Yasmin mempamerkan aksi terbaik sejak kebelakangan ini.

“Kalau nama saya terpilih ke Kejohanan Asia, insya-Allah saya akan cuba beri yang terbaik,” katanya ketika ditemui Bernama pada edisi pertama Kejohanan Olahraga Grand Prix Terbuka Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Sebelum itu beliau meraih pingat perak dalam acara 100m lelaki dengan catatan 10.41 saat, dengan juara remaja dunia bawah 20 tahun, Lalu Muhammad Zohri meraih emas (10.20 saat), manakala pelari Taiwan, Wei-Tsu Wang mengutip gangsa (10.44 saat).

“Catatan 10.41 saat ini boleh dikira agak baik untuk saya pada tahun ini kerana ia hampir dengan catatan terbaik peribadi musim iaitu 10.40 yang saya catat pada tahun lepas,”jelas Muhammad Zulfiqar yang merupakan pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Asia 2018.

Dalam pada itu, pelari pecut wanita negara, Siti Fatimah Mohamad berpuashati dengan kutipan gangsa yang diraihnya dalam acara 100m menerusi catatan 11.91, namun mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki untuk melakar catatan masa yang lebih baik.

Pingat emas acara berkenaan dimenangi atlet Kyrgyzstan, Anna Bulanova (11.75 saat), manakala pingat perak diraih atlet Taiwan, Chia Chen Hu (11.89 saat).

“Syukur Alhamdulillah, saya akhirnya dapat pingat setelah lama tidak menyertai mana-mana kejohanan, tapi sasaran sebenar saya untuk memperbaiki catatan masa masih belum tercapai lagi.

“Saya gembira kerana melakar bawah 12 saat, namun saya berharap dapat baiki lagi catatan masa sama untuk berada di bawah 11.5 saat selepas ini,”katanya. –BERNAMA


Pengarang :