SELANGOR

RM1.9 juta laksana Fast Track SPM Sekolah Tahfiz Persendirian

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.9 juta bagi melaksanakan Projek Fast Track Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Tahfiz Persendirian Sepenuh Masa, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, tanggungan peruntukan itu membabitkan kos tuisyen iaitu elaun penceramah dan bahan rujukan pelajar.

“Projek ini dilaksanakan oleh Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan dijalankan di premis ditetapkan BPI seperti di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Maahad Integrasi Tahfiz Selangor dan Sekolah Rendah Agama JAIS.

“Kohort kelas ini adalah selama satu tahun bermula Januari dan berakhir pada Oktober, dengan sesi pembelajaran diadakan pada Sabtu dan Ahad. Selepas itu, murid-murid akan menduduki peperiksaan SPM di pusat peperiksaan yang berdaftar pada tahun sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di Bilik MTES, di bangunan SUK, semalam.

Pada masa sama, katanya, tenaga pengajar adalah guru-guru pakar atau penanda kertas SPM daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, manakala peserta program terdiri daripada warganegara Malaysia dan sedang atau pernah menuntut di sekolah tahfiz persendirian sepenuh masa berdaftar dengan JAIS.

“Keutamaan diberikan kepada calon kurang berkemampuan dan sudah menghafaz 15 juzuk,” katanya.


Pengarang :