SELANGOR

Sistem Pembelian KSSB efektif, mampu elak ketirisan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 3 MAC: Proses perolehan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bertambah lancar dan telus apabila syarikat itu berjaya membangunkan Sistem Pembelian atas talian.

Ketua Jabatan Kontrak & Perolehan, Mohd Hisham Mohd Ghaus berkata, Sistem Pembelian dibangunkan jabatannya itu juga mampu mengelakkan berlakunya ketirisan dalam proses perolehan anak syarikat Kerajaan Negeri itu.

“Sistem Pembelian KSSB ini adalah satu sistem dibangunkan secara dalaman di mana ia membolehkan segala pembelian syarikat dibuat secara atas talian.

“Daripada mula kita tempah barang sampai ia masuk boleh kesan atau ‘track’ melalui sistem ini di mana sebelumnya dibuat secara manual menggunakan perisian biasa yang terdapat dalam pasaran,” katanya.

Mohd Hisham berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Video Korporat dan Sistem Pembelian KSSB di Hotel The Everly, di sini, hari ini.

Katanya, sistem boleh diakses mana-mana pegawai syarikat untuk tujuan semakan dan pemantauan.

Mohd Hisham berkata, sistem ini turut memperkemaskan lagi rekod pembelian syarikat seperti data pembekal, tarikh perolehan dan sebagainya.

Beliau berkata, langkah menggunakan sistem itu selaras dengan status KSSB sebagai syarikat pemegang siijil ISO dan mematuhi Prosedur Amalan Tetap syarikat.


Pengarang :