NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini berikutan sentimen pelabur yang positif susulan pelaksanaan semula projek infrastruktur oleh kerajaan iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.11 mata kepada 1,625.18, daripada 1,622.07 semasa ditutup pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.49 mata kepada 1,622.56.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 194 berbanding 108, manakala 198 kaunter tidak berubah, 1,414 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 310.32 juta saham bernilai RM171.85 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd (MSSB) dalam nota penyelidikan berkata saham yang berharga rendah dan saham pasaran yang lebih luas dijangka terus meningkat dalam tempoh terdekat dengan belian secara bergilir-gilir dan saham pembinaan dijangka menyaksikan dagangan yang lebih aktif.

“Kami menjangka peningkatan dalam jangka masa terdekat di Bursa Malaysia berikutan kami berpendapat jualan mungkin berkurangan buat masa ini selepas indeks utama mencecah paras terendah baharu dalam tempoh tiga tahun.

“Pada masa sama, kami fikir berita negatif mengenai ekonomi Malaysia akan berkurangan, justeru itu, mempunyai potensi untuk memberi ruang kepada pasaran saham tempatan mengurangkan aliran penurunan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM9.12, Public Bank susut dua sen kepada RM22.50, Petronas Chemicals dan IHH, masing-masing tidak berubah pada RM8.95 dan RM5.56, manakala Tenaga meningkat 10 sen kepada RM12.24.

Daripada saham pembinaan yang diniagakan secara aktif, Ekovest naik 26.5 sen kepada 93.5 sen, Iris menambah satu sen kepada 17.5 sen, dan QES meningkat 1.5 sen kepada 26.5 sen.

Daripada kaunter paling untung, saham hartanah IWCity naik 30 sen kepada RM1.32, diikuti Ekovest dan DWL, masing-masing meningkat 20 sen kepada RM1.51.

Indeks FBM Emas menambah 41.64 mata kepada 11,538.87, Indeks FBMT 100 menokok 36.62 mata kepada 11,361.50 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 49.70 mata kepada 11,739.72.

FBM 70 melonjak 106.76 mata kepada 14,489.27 dan FBM Ace meningkat 8.14 mata kepada 4,700.99.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 37.46 mata kepada 16,782.72, Indeks Perladangan menokok 4.57 mata kepada 7,233.48 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.22 mata kepada 168.52. -BERNAMA


Pengarang :