MELAKA, 7 April — Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Kerk Chee Yee (dua, kanan) dan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi Negeri Norhizam Hassan Baktee (kiri) mencuba aplikasi Agrobazaar Online yang disediakan pada Program My Best Buy @ Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 hari ini Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Zainal Abidin Yang Razalli (kanan). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

FAMA sasar hasil jualan ‘My Best Buy’ RM20 juta tahun ini

MELAKA, 7 APRIL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan hasil jualan kira-kira RM20 juta melalui program ‘My Best Buy’, pada tahun ini berbanding RM15 juta, tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Zainal Abidin Yang Razalli berkata, kira-kira 1,600 program ‘My Best Buy’ akan dianjurkan sepanjang tahun ini di 200 lokasi di seluruh negara dengan pembabitan 30 hingga 40 usahawan di setiap lokasi penganjuran.

“Program ‘My Best Buy’ adalah satu program jualan terus kepada pengguna terutama di kawasan perumahan, pejabat kerajaan atau komuniti yang menawarkan pelbagai barangan makanan serta keperluan harian pada harga berpatutan,” katanya kepada pemberita pada Program ‘My Best Buy’ @ Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka Kerk Chee Yee yang mewakili Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata program itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pengguna sejak mula dilaksanakan pada 2014.

Zainal Abidin berkata, bagi bulan pertama tahun ini sebanyak 412 program ‘My Best Buy’ telah diadakan di 11 lokasi di seluruh negara dengan nilai jualan sebanyak RM3.08 juta.

Sementara itu, beliau berkata usaha terbaharu yang dilaksanakan FAMA di bawah program ‘My Best Buy’ pada tahun ini ialah pembukaan gerai jualan bersempena penganjuran LTdL di enam lokasi dengan sasaran hasil jualan sebanyak RM500,000.

Katanya, Melaka adalah lokasi kedua penganjuran ‘My Best Buy’ sempena LTdL selepas Jalan Besar Tampin, Negeri Sembilan semalam manakala esok di Dataran Putrajaya, Dataran Warisan di Taiping, Perak (10 April), Underwater World Langkawi (12 April) dan Kuah, Langkawi (13 April). -BERNAMA


Pengarang :