BERITA UTAMASELANGOR

Hospital Ampang tubuh KRT pangsapuri pertama di Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG, 17 APRIL: Hospital Ampang muncul pusat perubatan pertama di Selangor yang menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di pangsapurinya sebagai usaha memberdaya komuniti setempat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, penubuhan KRT itu diharap mampu menjadi contoh kepada masyarakat kerana penduduk di pangsapuri berkenaan terdiri daripada kakitangan hospital yang mempunyai ilmu berkaitan kesihatan.

“Usaha ini (penubuhan KRT) amat dialu-alukan kerana ia satu usaha menyatukan masyarakat supaya kediaman kita lebih harmoni dan semangat bergotong-royong dikekalkan seperti digariskan dalam Dasar Komuniti Negara.

“Penubuhan KRT juga diharap dapat memberdaya komuniti supaya tahu menjaga kebersihan, keselamatan, harta benda dan keharmonian kawasan mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran KRT Pangsapuri Hospital Ampang dan program Jom Sihat, di lobi utama Hospital Ampang, di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang turut berharap penduduk di kawasan itu bertanggungjawab terhadap kawasan perumahan sebaik mungkin dan menjaga imej selaku kakitangan kerajaan.

Dalam majlis sama, KRT Pangsapuri Hospital Ampang menerima sumbangan RM17,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang diserahkan Zuraida dan Ahli Dewan Negeri Teratai, Bryan Lai Wai Chong.

KRT Pangsapuri Hospital Ampang mula ditubuhkan pada 10 Ogos 2018 terdiri daripada tiga blok bangunan yang menempatkan 427 unit rumah.

Setakat ini, hampir 393 unit rumah didiami kakitangan hospital dengan jumlah keseluruhan penduduk seramai 2,400 orang.

 

FOTO OLEH FIKRI YUSOF

 


Pengarang :