SELANGOR

Ibu, anak tidak sangka menang peminjam buku paling banyak

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 APR: Seorang ibu dan anak tidak menyangka dipilih sebagai peminjam buku paling banyak sehingga diumumkan sebagai penerima Anugerah Peminjam Paling Aktif apabila meminjam lebih 1,000 buku sepanjang tahun lalu.

Mereka menerima anugerah itu bersempena program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit disampaikan Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, hari ini.

Penerima Anugerah Peminjam Paling Aktif kategori dewasa, Liza Mohd Hadi berkata, beliau sering meminjam buku hampir setiap bulan bagi dijadikan sebagai bahan rujukan pembelajaran.

“Saya dan anak kerap ke Perpustakaan Sekinchan untuk meminjam buku dan sekali pinjam kami akan meminjam sekurang-kurangnya 10 buku setiap bulan.

“Bagi saya amalan membaca ini perlu dipupuk kerana menerusi pembacaan kita akan memperolehi banyak ilmu pengetahuan yang kadangkala tidak dipelajari di sekolah,” katanya yang juga bekerja sebagai guru.

Pada masa sama, katanya, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) kerana menganugerahkan beliau dan anaknya sebagai peminjam paling aktif.

“Saya amat menggalakkan masyarakat tidak kira pelbagai peringkat usia untuk luangkan masa sehari sekurang-kurangnya 10 minit untuk membaca apa sahaja jenis buku,” katanya.

Sementara itu, Anugerah Peminjam Paling Aktif kategori kanak-kanak, Azreen Syarina Abdul Aziz, 12, berkata, minatnya membaca bermula sejak kecil lagi memandangkan ibunya seorang guru banyak menekankan aktiviti berkaitan dalam rutin harian.

“Saya sering mengikuti ibu pergi ke Perpustakaan Sekinchan dan meminjam beberapa naskhah bagi dijadikan bahan rujukan memandangkan tahun ini bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah.

“Bagi saya membaca adalah satu amalan sangat penting kerana ia dapat meningkatkan pengetahuan individu terbabit,” kata pelajar Sekolah Kebangsaan Tok Khalifah, Sungai Besar itu.

Terdahulu, program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit itu diadakan secara serentak di seluruh negara berkonsepkan Berhenti Sebentar dan Membaca Bersama Selama 10 Minit pada jam 11 pagi tadi.

Ia turut membabitkan pelajar sekolah sekitar Selangor, Universiti Awam dan Swasta, Agensi Kerajaan serta Badan Bukan Kerajaan yang turut sama menyokong program seumpama ini.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :