SUKANKINI

PL: The Reds belum mengalah, belasah Huddersfield 5-0

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 27 APR: Liverpool membelasah Huddersfield Town 5-0 di laman sendiri awal pagi tadi untuk terus menghidupkan peluang menjulang trofi Liga Perdana Inggeris.

Nabiey Kieta membuka jaringan seawal minit pertama permainan hasil tolakan Mohamed Salah sebelum beliau mudah merembat masuk bola menewaskan penjaga gol Jonas Lossl.

Sadio Mane menjadikan kedudukan 2-0 buat Liverpool pada minit ke-23 apabila menanduk tepat bola hantaran Andy Robertson.

The Reds mengukuhkan kedudukan 3-0 sebelum babak pertama berakhir menerusi gol cantik Salah yang melambungkan bola mengatasi Lossl hasil umpanan Trent-Alexander Arnold.

Tandukan Mane pada minit ke-66 menambah derita Huddersfield yang akan tersingkir daripada Liga Perdana musim hadapan apabila ketinggalan 4-0.

Robertson sekali lagi menjadi watak penting apabila tolakan ke hadapan gawang lawan mudah disambar Salah bagi kedudukan 5-0 pada minit ke-83.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp ini mengatasi penyandang kejuaraan, Manchester City dengan kelebihan dua mata selepas 36 perlawanan.

Kedudukan itu mungkin berubah kerana City dijadualkan bertemu Burnley malam esok di gelanggang lawan.

Kredit Foto: Premier League


Pengarang :