SELANGOR

PREC bawa konsep Taj Mahal di FESTIRA’19

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 30 APR: Festival Ramadan Selangor 2019 (FESTIRA’19) anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) tampil berbeza dengan membawakan konsep Taj Mahal di Kompleks PKNS Bangi, Bandar Baru Bangi, dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, bangunan aset miliknya di Kompleks PKNS Shah Alam turut berkonsepkan Memori Desa Lebaran, manakala Royal Eid di SACC Mall.

“Pastinya suasana kali ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya kerana kami telah memberi nafas baharu menerusi beberapa pembaharuan,

“Pada masa sama, dengan adanya konsep ini, ia dapat memberi satu tarikan kepada pengunjung berswafoto dan memuat naik di media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di temui media di majlis perasmian FESTIRA’19 di kompleks PKNS, di sini, hari ini.

Fakru Radzi berkata, pihaknya turut menyasarkan seramai 2.5 juta pengunjung tahun ini bagi ketiga aset miliknya itu.

Majlis disempurnakan Ahli Jawatankuasa Kerja PREC merangkap Pengurus Kanan Teknologi Maklumat PKNS, Saharom Mohni.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 

 


Pengarang :