NASIONAL

Axiata, Telenor ASA jalankan proses pematuhan cadangan penggabungan

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Axiata Group Bhd dan syarikat telekomunikasi multinasional Norway, Telenor ASA, akan melaksanakan proses pematuhan untuk cadangan penggabungan, yang dikenali sebagai MergedCo.

Presiden dan Ketua Pegawai Ekekutif Kumpulan, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, proses pematuhan itu yang dijangkakan selesai dalam tempoh tiga hingga enam bulan, turut meliputi penelitian ke atas lembaran imbangan dan isu perundangan.

“Kami perlu bersetuju ke atas pasukan utama pengurusan MergedCo, dan sekurang-kurangnya beberapa lagi dalam (anak syarikat) MalaysiaCo.

“Bagi syarikat operasi yang lain di pihak mereka dan pihak kami, tidak ada cadangan untuk mengubah pengurusan,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan di sini hari ini.

MergedCo akan mempunyai kira-kira 67 peratus kepentingan dalam MalaysiaCo – penggabungan yang dirancang antara Celcom Axiata Bhd dan Digi.Com Bhd.

Jamaludin berkata kumpulan itu yakin bahawa perjanjian itu akan dilaksanakan memendangkan ia menerima sokongan Khazanah Nasional Bhd.

Khazanah Nasional menguasai 37 peratus kepentingan dalam Axiata.

Berikutan penandatanganan perjanjian penggabungan itu, pihak yang terlibat akan mengambil masa enam hingga sembilan bulan lagi untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan dari pihak berkuasa di negara-negara ia beroperasi.

“Jika semuanya berjalan lancar, kami menjangkakan penggabungan itu akan diselesaikan pada suku ketiga 2020,” katanya

Mengenai harga, Jamaludin berkata keputusan itu bergantung kepada pelan perniagaan.

“Namun secara logik, ia akan jauh lebih murah daripada sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, Jamaludin berkata kumpulan itu positif terhadap Garis Panduan Penggabungan dan Pengambilalihan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Saya dimaklumkan oleh SKMM bahawa garis panduan itu tidak dilakukan kerana kami kerana ia sudah lama dibangunkan. Sudah tentu mereka menyegerakannya untuk kami, tetapi bukan kerana kami.

“Malah, salah satu perkara yang saya suka mengenai garis panduan ini ialah ia memihak kepada kami dari segi sumbangan kepada negara yang menjangkaui penggabungan itu semata-mata,” katanya.

MCMC baru-baru ini mengeluarkan Garis Panduan Penggabungan dan Pengambilalihan dan Garis Panduan mengenai Kebenaran Perilaku.

Garis panduan ini bertujuan meningkatkan ketelusan selain menjelaskan pendekatan MCMC dalam industri ketika menilai penggabungan dan pengambilalihan syarikat-syarikat telekomunikasi.

Sementara itu, Jamaludin berkata Axiata seawal-awalnya akan melancarkan teknologi 5Gnya menjelang 2021. – BERNAMA

 


Pengarang :