NASIONAL

FGV harap selesaikan penjualan Trurich penghujung September

KUALA LUMPUR, 29 MEI: FGV Holdings Bhd (FGV) berharap penjualan aset perladangannya di Indonesia, Trurich Resources Sdn Bhd (Trurich), akan selesai pada hujung September tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Haris Fadzilah Hassan.

Beliau berkata syarikat usaha sama 50:50 dengan Lembaga Tabung Haji (TH) itu bernilai RM1 bilion, termasuk hutang.

“Terdapat tujuh pihak yang berminat dan ketika ini kami sedang dalam perbincangan dengan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan kewangan suku pertama syarikat itu, di sini hari ini.

Trurich memiliki dan menguruskan 42,000 hektar ladang kelapa sawit di Utara Kalimantan (Kaltara) dan Tengah Kalimantan (Kalteng)

Haris Fadzilah berkata tiga daripada tujuh pihak yang berminat itu menunjukkan minat untuk membeli kedua-dua ladang di Kaltara dan Kalteng, manakala empat pihak yang lain berminat untuk salah satu ladang itu.

“Kami sedang dalam rundingan. Sebaik-baiknya kami mahu menjual keseluruhan (Trurich),” katanya.

FGV dan TH dilaporkan, merancang untuk menjual Trurich bagi menambah baik kedudukan kewangan dan kedua-dua pihak telah bekerjasama dengan penasihat undang-undang untuk menilai minat pembeli yang berpotensi.

Laporan itu berkata kedua-dua FGV dan TH mungkin meletakkan nilai Trurich sebanyak US$1 bilion. – BERNAMA


Pengarang :