KUALA LUMPUR, 3 Mei — Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) menyaksikan upacara Serah Tongkat Kuasa Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (kiri) kepada Ketua Polis Negara yang baharu Datuk Seri Abdul Hamid Bador (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis DiRaja Malaysia (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Fuzi serah tongkat kuasa KPN kepada Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini menyerahkan Tongkat Kuasa Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Abdul Hamid Bador di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini.

Majlis serah terima tugas jawatan nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disaksikan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Abdul Hamid dilantik secara kontrak sebagai Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa esok.

Pelantikan Abdul Hamid mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Selain itu, Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 Bukit Aman Datuk Ramli Hassan dilantik sebagai Pemangku Pengarah Cawangan Khas yang baharu berkuat kuasa esok.

Tongkat Kuasa jawatan berkenaan diserahkan Abdul Hamid sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim, juga di Pulapol.

-BERNAMA


Pengarang :