SELANGOR

RMS serah bantuan, ceria Aidilfitri anak yatim

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 12 MEI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyerah sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada majlis itu disambut dengan paluan kompang dan persembahan silat oleh Persatuan Silat Seni Gayung Malaysia serta Persatuan Silat Seni Gayung Cula Sakti Malaysia.

Baginda menyerahkan sumbangan RM9,500 kepada 95 anak yatim dengan setiap seorang menerima RM100 sebagai bantuan persiapan Aidilfitri awal Jun nanti.

Selepas selesai majlis, baginda turut bersolat Zohor secara berjemaah di surau Rumah Kasih Harmoni bersama anak yatim terbabit.

Majlis itu dijayakan oleh Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) hasil sumbangan dana daripada Pengeluar Gula, Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).

Ketua Pegawai Eksekutif CSR, Hishammudin Hassan berkata, secara keseluruhan pihaknya memperuntukkan RM270,000 kepada YIDE untuk membantu anak yatim.

“Kami memperuntukkan RM150,000 bagi kerja pembaikan infrastruktur dan barang keperluan di rumah Kasih Harmoni Paya Jaras. Selain pemberian sumbangan, kami juga menjadikan rumah ini sebagai rumah angkat syarikat kami.

“Manakala RM120,000 pula untuk disalurkan ke rumah kebajikan anak yatim di bawah seliaan YIDE,” katanya ketika memberi ucapan pada majlis terbabit di sini.

Pada masa sama, CSR dan YIDE juga turut menjadikan rumah kebajikan terbabit sebagai projek perintis bagi Food Bank demi memastikan rumah itu sentiasa mempunyai bekalan makanan mencukupi.

Sebelum berangkat pulang, baginda sempat melawat lokasi penyimpanan makanan bagi Food Bank terbabit.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :