SASTERA

Tiada lagi derita rakyat kemacar?

Oleh Roslan Jomel

Di The Coffee Bean & Tea Leaf dalam Sunway Putra Mall, 30 Mac 2019, saya menunggu Azman Hussin. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 sudah dua hari berlangsung. Sehari sebelumnya, saya terserempak dengan Abdullah Hussaini dan seorang lelaki tidak dikenali berjalan seringan dengannya, juga dalam Sunway Putra Mall. Selepas itu, dia memaklumkan bahawa ada seseorang ingin mengopi bersama-sama saya.

Rupa-rupanya teman di sebelah Abdullah Hussaini kelmarin ialah Azman Hussin. Itulah kali pertama saya bersemuka dengannya. Wajahnya lebih kompleks daripada Raskolnikov.

Siapa Azman Hussin? Dari mana dia muncul dalam ranah penulisan sastera? Di Kuala Lumpur, Azman Hussin hidup seperti nomad, tidur menumpang di rumah kawan, melakukan pelbagai pekerjaan untuk terus bertahan. Dia menyusuri bau hancing setiap lorong dan melewati sudut kumuh yang dihuni komuniti marginal. Di situlah dia dipertonton bahagian inti sebuah kek besar yang diiklankan oleh Kuala Lumpur. Pada matanya, hanya yang kuat dan berani sahaja mampu bernafas di tengah hutan kejam itu. Kuala Lumpur bukan oasis untuk menunggu hujan emas. Demikian, pengalaman di jalanan, diserap mentah-mentah dalam naratif-naratifnya. Itulah universiti tempatnya merenung algoritma kehidupan. Dia bagaikan Jack Kerouac yang diselaputi debu dan sensual bandar raya.

Azman Hussin mengasingkan diri daripada komuniti penulis. Gambar terkininya tidak ditemui dalam carian Google. Latar belakangnya misteri dan tertutup. Berbanding dengan gelagat para penulis muda masa kini yang advance mempromo karya dan diri. Sehingga kini, saya tidak pernah mendengar dia membimbing peserta dalam mana-mana bengkel penulisan atau bercakap di depan audien dalam diskusi sastera. Penulis eksentrik dari Kelantan itu mencipta fenomena dalam genre cerpen penghujung tahun 1990-an dengan menyorot permasalahan rakyat kemacar atau marhaen Kuala Lumpur. Nama dan cerpen-cerpennya meletuskan bom atom dalam lapangan penulisan tempatan.

Pada era transisi gaya penulisan cerpen Malaysia, beberapa penulis seperti Zaen Kasturi, SM Zakir, Daeng Ramli Akil, Marsli NO, sebagai misal, ghairah bereksperimen sehingga karya mereka agak terlalu esotrik. Tidak merakyat. Berbelit dengan jargon dan falsafah rumit. Bertentangan dengan penulisan Azman Hussin. Dia memecah tembok batasan antara pengarang dan pembaca. Maka, naratifnya ditulis dengan pendekatan lurus. Dia mahukan fikiran dan ideanya sampai kepada pembaca semua peringkat lapisan masyarakat semudah mendapatkan air pili di rumah. Bahasa digunakannya komunikatif, telus dan kelebihan itu mengembalikan sastera kepada pangkuan pembaca umum. Itulah menyebabkan saya menggelengkan kepala dengan pandangan Sapardi Djoko Damono yang mengatakan “puisi itu untuk dihayati dan bukan untuk difahami.” Ironik. Bagaimana menghargai sesuatu yang tidak difahami?

Dalam pembukaan buku Apa Yang Kau Cari? sesudah Dongeng PascaMerdeka yang meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia tahun 1998-1999, ketika umurnya baharu 24 tahun, Azman Hussin merungkai wawasan utamanya sebagai penulis. “Saya bukan sasterawan dalam maksud difahami umum. Sasterawan sering digambarkan aneh, suka berkhayal, berpakaian selekeh, penyendiri atau sukar difahami. Saya tidak. Saya lebih suka dipanggil pemikir, thinker. Semua manusia adalah pemikir. Bezanya, saya adalah pemikir yang cuba merakyatkan fikirannya dalam tulisan.” Daripada kenyataan itu, ditegaskan kehadiran karya-karyanya di media massa bukan berpaut kepada cerita-cerita yang menjadi instrumen asas kepada pengarang fiksyen. Maknanya, cerpen-cerpen ditulis adalah medium kepada Azman Hussin untuk mengesyorkan teguran dan pemikiran sebagaimana demagog mempengaruhi pengikut-pengikutnya.

Sepanjang saya mengikuti cerpen-cerpen Azman Hussin, prinsip penulisan yang dipegang telah memisahkan posisinya daripada kelaziman penulis-penulis ketika itu. Dia tidak cenderung mendandan naratif dengan hiasan-hiasan seperti simbolisme, surealisme dan apa-apa sahaja kosmetik kesusasteraan yang mengaburkan kanta pemahaman. Pada usia semuda itu, dia telah menemui destinasi dalam penulisan ketika pengarang-pengarang muda, masih dibayangi oleh nama-nama besar. Menurut Rahman Shaari dalam kata penghantar untuk buku Dongeng PascaMerdeka, ia pencapaian yang hebat. Keajaiban yang dikecapinya pada usia semuda itu mengingatkan kita kepada novel Salina yang ditulis oleh SN A. Samad Said. Adakah kejayaan mendadak ini berkat daripada kerajinannya menelaah buku-buku falsafah, sosiologi dan agama selain daripada bacaan sastera?

Setiap cerpen disertakan petikan dan kenyataan daripada tokoh-tokoh intelektual yang terakam daripada halaman buku-buku. Ia seolah gabungan esei dan anekdot. Dalam cerpen Tahun Depan di Jerusalem, dia memetik nama Karl Marx, Harold J Laski, Theodor Herzl dan novelis dari Ghana iaitu Ayi Kwei Armah, pengarang novel The Beautiful Ones are Not yet Born. Cerpen yang mempersenda sifat hipokrit tokoh reformis muda itu dipilih sebagai penerima pelbagai hadiah sastera utama kerana menampilkan keupayaan pengarangnya menyatukan cerita, pemikiran dan mesej dengan begitu sempurna. Saya fikir, pembaca umum tidak bermasalah untuk mengerti teras persoalan yang disampaikan oleh Azman Hussin dalam cerpen monumental itu.

Sebagai anak muda ketika itu, Azman Hussin mempersoal mengapa tiadanya penerokaan psikologi golongan muda dalam sastera. Sastera dilihat terlalu elit. Dalam salah satu cerpen terkuatnya, Eskapis, dari buku Dongeng PascaMerdeka, Azman Hussin menelanjangi kegelisahan seorang anak muda yang bergelut dalam dunia dalamannya. Kegelapan dan keterasingan bakal mengheret jiwa yang kosong menjadi sisipus. Watak utama dalam cerpen itu laksana tersangkut pada perangkap labah-labah. Secara cerdas, Azman Hussin meleraikan kekacauan batin protagonis dengan menyerahkannya kepada Tuhan. Politikus dan kapitalis barangkali berhala yang perlu disembah untuk segenggam duit. Tetapi akhirnya manusia berpaling kepada Tuhan demi kebahagiaan rohani yang kekal. Ia berlawanan dengan sastera barat.

Di restoran Hyderabad Recipes, Azman Hussin mengatakan popularitinya sudah berlalu. Kini dia lebih menumpukan penulisan politik dan hal itu tentu memeranjatkan pengikut-pengikut cerpennya. Ke mana menghilangnya Azman Hussin yang rebellious dahulu? Adakah penderitaan rakyat kemacar sudah berakhir? Azman Hussin menjelaskan perubahan itu berlaku seiring dengan usia dan kematangan. Adakah karya sastera hanya obsesi pengkhayal? Dari buku Pemikiran Sosial, tulisan Nidzam Sulaiman, terbitan DBPKL tahun 2018, saya teringat kepada sebuah perenggan dalam bab dua yang melihat dari perspektif Max Weber bahawa aktiviti penulisan berkaitan dengan latar budaya seseorang, sama ada sekadar mengisi masa lapang atau menenangkan perasaan marahnya ketika itu. Kenyataan itu empirikal.

Saya bertemu lagi dengan Azman Hussin. Memasuki kedai buku Fajar Ilmu di tingkat dua Wisma Yakin. Di situlah sumber mata air kepada kerja penulisannya. Dia membeli dua buku tebal. Di kerusi depan kaunter, saya berfikir, adakah memang dia yang ditemui dua tahun lepas dalam kedai buku ini? Kemudiannya kami menapak ke Selangor Mansion. Sambil menunggu maggi goreng, saya memaklumkan hendak menulis artikel tentangnya. Dia penulis, pemikir dan penerbit serta penjual buku sekaligus. Benar-benar seorang independent. Semangat yang diraikan generasi masa kini. Katanya, “benda boleh terbit sendiri, mengapa suruh orang terbitkan?”


Pengarang :