EKONOMI

Bursa Malaysia melantun semula untuk dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 14 Jun : Bursa Malaysia dibuka kukuh hari ini, dengan mengambil petunjuk daripada kenaikan semalaman di Wall Street berikutan peningkatan ketegangan di Timur Tengah menyaksikan saham tenaga Amerika Syarikat (AS) melantun semula dengan kukuh.

Niaga hadapan minyak melonjak selepas dua kapal tangki minyak rosak selepas disyaki diserang di Teluk Oman yang mencetuskan kebimbangan mengenai gangguan bekalan, kata peniaga.

Pada 9.07 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.71 mata kepada 1,645.45 daripada 1,643.74 pada 5 petang Khamis.

Indeks dibuka 5.68 mata lebih tinggi pada 1,649.42.

Kedudukan pasaran positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 141 berbanding 84, dengan 175 kaunter tidak berubah, 1,480 tidak diniagakan dan 34 lagi digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 102.88 juta bernilai RM64.96 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata pasaran tempatan masih berada dalam keadaan terlebih beli sehingga akan berlaku penarikan balik ditambah pula dengan aktiviti pembelian daripada sumber domestik selepas perumusan musim pelaporan kebanyakan keputusan korporat baru-baru ini.

Ia berkata pada terakhir dagangan minggu ini, tumpuan kekal terhadap indeks utama yang mungkin terus menjejaskan minat pasaran.

“Kebimbangan geopolitik yang semakin meningkat di Timur Tengah dan pertikaian perdagangan yang tidak dapat diselesaikan antara Amerika Syarikat dan China akan mendorong sentimen lebih berhati-hari.

“Oleh itu, kami fikir indeks utama mungkin akan terus berlegar dalam jangka terdekat dengan kecenderungan menurun seperti kelazimannya, mungkin menyebabkan FBM KLCI kembali ke paras 1,640. Selain itu, paras sokongan berada pada 1,636, manakala paras rintangan pada 1,650 dan 1,657,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank susut empat sen kepada RM23.38, Tenaga turun lapan sen kepada RM12.24 dan CIMB susut satu sen kepada RM5.31.

Petronas Chemicals naik dua sen kepada RM8.33, sementara Maybank tidak berubah pada RM8.96.

Bagi saham yang aktif didagangkan, Greatech meningkat 6.5 sen kepada 80.5 sen, Ekovest naik setengah sen kepada 84.5 sen, Iskandar Waterfront menokok satu sen kepada RM1.00, Econpile naik 1.5 sen kepada 74.5 sen dan waran Econpile tidak berubah pada 26.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 13.45 mata kepada 11,622.03, Indeks FBMT 100 meningkat 13.20 mata kepada 11,467.44 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 10.32 mata kepada 11,844.31.

FBM 70 naik 21.90 mata kepada 14,480.13 manakala FBM Ace susut 25.22 mata kepada 4,399.32.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 12.59 mata kepada 16,818.94 dan Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.73 mata kepada 161.37, tetapi Indeks Perladangan turun 4.84 mata kepada 6,875.94. -BERNAMA


Pengarang :