NASIONAL

Dakwaan Lokman terhadap Azmin tidak benar – SPRM

PUTRAJAYA, 28 Jun : Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tidak berlaku transaksi meragukan serta kewujudan akaun luar negara yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, SPRM telah menjalankan siasatan susulan laporan yang dibuat Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kepada SPRM, baru-baru ini.

Lokman membuat laporan SPRM berhubung transaksi meragukan oleh sebuah syarikat pembinaan ke akaun bank peribadi milik menteri itu selain mendakwa terdapat kewujudan sebuah akaun di luar negara pada 2012 milik menteri berkenaan.

“SPRM telah menjalankan siasatan dan mendapati tidak wujud transaksi yang dinyatakan dan tiada kewujudan akaun yang berkaitan,” kata Azam dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata SPRM turut menyiasat berhubung dakwaan terhadap Mohamed Azmin bertajuk “Here is the proof Azmin Ali is toyol of Selangor” yang mana satu laporan mengenainya dibuat pada Ogos tahun lalu.

Menurutnya, siasatan telah dijalankan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia serta institusi kewangan lain dan mendapati dakwaan yang dibangkitkan itu adalah tidak benar. -BERNAMA


Pengarang :