NASIONAL

Mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara

IPOH, 10 JUN: Kira-kira 80 orang penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah Hilir Perak dan Kampar masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), pada malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, setakat 9 malam tadi, 66 penduduk yang kebanyakannya dari Kampung Batu 7 1/2, Teluk Intan terdiri daripada 16 keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Jong.

“Sementara jumlah mangsa banjir dari Kampung Cabang Dua di daerah Kampar juga masih ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Kuala Dipang iaitu masih kekal 14 orang terdiri daripada dua buah keluarga,” katanya.

Banjir di Hilir Perak membabitkan Kampung Batu 7 1/2, Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9 itu berpunca daripada hujan lebat, pada Jumaat.

Banjir di Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9 mulai surut, membolehkan penduduk di kawasan berkenaan pulang ke rumah masing-masing pada pagi semalam.

Bagaimanapun, penduduk terjejas di daerah Kampar masih belum dibenarkan pulang sehingga pihak keselamatan mengesahkan kediaman mereka selamat didiami.

-BERNAMA


Pengarang :