NASIONAL

Pasangan suami isteri, kanak-kanak perempuan didakwa dera dua beradik

PETALING JAYA, 20 Jun : Sepasang suami isteri dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas beberapa pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap dua beradik dengan memukul mereka menggunakan getah paip serta mengabai mangsa sehingga mengalami kekurangan zat yang kronik.

S. Gopal, 33, seorang penghantar gas dan isterinya R. Rani, 30, mengaku tidak bersalah manakala kanak-kanak itu mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Ketiga-tiga mereka menghadapi dua pertuduhan bersama-sama melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun dan kanak-kanak perempuan berumur enam tahun itu, dengan memukul kedua-dua mangsa menggunakan kayu sekuriti, getah paip dan wayar kabel pada bahagian kepala, muka, badan, tangan serta kaki selain meletakkan garfu dan pisau panas pada bahagian punggung, tangan kaki serta tapak kaki mereka.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Pusat Bandar Puchong, Puchong di sini, kira-kira 2.45 petang pada 15 Jun lepas.

Gopal dan Rani juga menghadapi dua lagi pertuduhan melakukan pengabaian terhadap kedua-dua mangsa sama sehingga menyebabkan mereka mengalami kekurangan zat yang kronik serta ‘anemia’ di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi kesemua pertuduhan, pasangan suami isteri itu dan kanak-kanak tersebut didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya G. H. Tan tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap pasangan suami isteri itu atas alasan kesalahan yang dilakukan serius dan dibimbangi mereka akan menganggu kedua-dua mangsa yang sedang dirawat di hospital.

Bagi kanak-kanak perempuan itu, Tan memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Kanak-kanak Petaling Jaya selain memohon supaya dia ditempatkan di Asrama Bahagia di Kampung Pandan, Kuala Lumpur buat sementara waktu.

Beliau turut memohon tarikh sebutan untuk kanak-kanak itu sementara menunggu laporan akhlak.

Norshila membenarkan Gopal dibebaskan dengan jaminan RM16,000 serta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Rani tidak dibenar diikat jamin kerana tiada penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan Gopal melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan melarang tertuduh mendekati kedua-dua mangsa.

Norshila membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes kanak-kanak perempuan itu dipindahkan ke Mahkamah Kanak-kanak dan dia ditempatkan buat sementara waktu di Asrama Bahagia.

Beliau turut menetapkan 25 Julai untuk sebutan sementara menunggu laporan akhlak kanak-kanak perempuan itu dan menetapkan 29 Julai bagi sebutan melantik peguam serta serahan dokumen bagi pasangan suami isteri tersebut.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, siasatan polis mendapati kedua-dua mangsa tinggal bersama pasangan suami isteri itu serta remaja perempuan tersebut sejak tujuh tahun lepas, selepas ditinggalkan ibu bapa mereka yang sudah bercerai. -BERNAMA


Pengarang :