Selangorkini
SHAH ALAM, 15 Jun — Pemain pasukan Selangor Mohd Khyril Muhymeen Zambri (kiri) cuba mengawal bola dari pemain pasukan Kuala Lumpur pada perlawanan Liga Super 2019 antara pasukan Selangor bertemu pasukan Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam hari ini. Pasukan Selangor mendahului dengan jaringan 1-0 pada separuh masa pertama. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SUKANKINI

Selangor atasi KL 2-1 pada derby Lembah Klang

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Jaringan penalti pada minit-minit terakhir membantu Selangor mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi, sekali gus melonjakkan skuad Gergasi Merah ke kedudukan ketiga carta liga.

Pada aksi derby Lembah Klang itu, Selangor terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun pada minit ke-36, sebelum skuad ‘The City Boys’ menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Guilherme De Paula Lucrecio pada minit ke-58.

Skuad Gergasi Merah bagaimanapun berjaya mengesahkan tiga mata penuh apabila pengadil perlawanan, Fitri Maskon menghadiahkan sepakan penalti selepas Sean Eugene Selvaraj dijatuhkan dalam kotak penalti.

Pemain import dari Brazil, Sandro Da Silva melengkapkan penalti itu pada masa kecederaan perlawanan itu, untuk membantu Selangor memintas Kedah (23 mata) dan Melaka (23 mata) ke kedudukan ketiga dengan mengumpul 25 mata daripada 16 perlawanan.

Sementara itu, jaringan hatrik Sanjar Shaakhmedov membantu Terengganu FC mencuri satu mata menentang Melaka di Stadium Hang Jebat.

Pemain tengah berusia 28 tahun dari Uzbekistan itu, beraksi cemerlang apabila menjaringkan gol pada minit ke-41, 72 dan 81 untuk membantu skuad Penyu bangkit menyamakan kedudukan.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import Ivory Coast, Davy Angan pada minit ke-17 dan pemain import dari Serbia, Luka Milunovic pada minit ke-30, diikuti jaringan kedua Davy pada minit ke-47.

Pada aksi Liga Premier, jaringan tunggal Alto Linus pada minit ke-65 membantu Sabah mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Likas, kota Kinabalu, sekali gus merampas kedudukan kedua daripada UiTM FC.

Sabah yang memiliki kelebihan satu perlawanan, hanya ketinggalan satu mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) II yang berada di puncak dengan 29 mata, manakala UiTM FC berada di tempat ketiga dengan 27 mata.

Pasukan UKM FC pula gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri pada tewas 2-3 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Skuad ‘The Cops’ meraih jaringan menerusi Muhammad Fauzan Fauzi pada minit kelapan, Argzim Redzovic (49’) dan penalti Lee Changhoon (77’), manakala gol UKM FC pula dijaringkan oleh kapten pasukan, Asnan Ahmad (13’) dan Mateo Roskam (74’).

Terdahulu pada aksi sebelah petang, Pulau Pinang berjaya meraih tiga mata selepas menewaskan Selangor United 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pulau Pinang membuka jaringan menerusi penyerang import dari Argentina, Julian Bottaro pada minit ke-55, sebelum Anselmo Arruda da Silva (60’) dan Sergio Fabian Ezequiel Aguero (89’) meningkatkan jurang, manakala gol sagu hati pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Abdul Hadi Yahaya pada masa kecederaan separuh masa kedua. – BERNAMA


Pengarang :