NASIONAL

TPM: Rakyat perlu jadi duta pelancongan negara

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Rakyat Malaysia perlu menjadi ‘duta pelancongan’ negara dan bersama-sama menjayakan misi Melawat Malaysia 2020 dengan mempromosi negara kepada masyarakat antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata rakyat perlu memberi sokongan padu bagi menjayakan misi nasional yang menyasarkan kedatangan 30 juta pelancong asing dan mampu menjana pendapatan pelancongan negara sebanyak RM100 bilion.

“Cara paling mudah adalah dengan menonjolkan keperibadian kita yang mulia. Apabila orang asing jatuh cinta dengan sifat timur yang dimiliki, dengan sendirinya mereka akan mencari seni warisan negara untuk dihayati,” katanya semasa berucap merasmikan Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah menzahirkan keyakinan sasaran kerajaan bagi jumlah kedatangan pelancong pada tahun Melawat Malaysia 2020 mampu dicapai sekiranya seluruh rakyat bersatu menjadi ‘duta pelancongan’ negara.

Kepelbagaian seni budaya dan warisan adalah kekuatan Malaysia yang sebenarnya, justeru rakyat harus menjadi negara contoh kepada dunia luar serta mencerminkan intelektual yang tinggi, katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata menerusi pelaksanaan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 yang mengenal pasti 60 kluster ekopelancongan, inisiatif lain yang diambil akan memberi tumpuan kepada usaha promosi produk pelancongan minat khas di luar negara seperti selam skuba, pelayaran dan inap desa serta memaksimumkan promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan, perdagangan, pelaburan, pendidikan kesihatan dan perfileman.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kerajaan belum berbincang secara terperinci mengenai cadangan untuk memberi cuti paterniti selama tiga hari kepada pekerja sektor swasta.

“Kita belum lagi bincang secara terperinci namun memanglah ada kekangan-kekangan yang difikirkan dalam erti kata, majikan anda.

“Tapi dari segi paterniti (cuti) ni memang baiklah dapatkan kerana kita akan ke (arah) negara penuaan (penduduk). Kita nak galakkan orang mendapatkan anak jadi ia boleh dipertimbangkan namun kita belum bincang secara terperinci,” katanya.

Dr Wan Azizah diminta mengulas kenyataan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk memberi cuti paterniti selama tiga hari kepada pekerja sektor swasta.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata jamuan Aidilfitri yang dianjurkan jabatan kerajaan pada waktu pejabat bertujuan menjimatkan masa dan wang.

“Bagaimanapun, kita ada mereka yang jaga kaunter. Kita ikut giliran sebab kita nak juga merayakan bersama pekerja-pekerja,” katanya, merujuk kenyataan Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd. Asri Zainul Abidin yang meminta kerajaan melihat semula keperluan jabatan kerajaan mengadakan jamuan hari raya Aidilfitri setiap kali tiba bulan Syawal.

Kepada soalan berkaitan dagangan dua hala Malaysia dan India, Dr Wan Azizah berkata Malaysia berharap untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan dari India.

Beliau berkata jumlah dagangan dengan India pada 2018 berjumlah RM62.76 bilion (US$15.56 bilion), meningkat sebanyak 2.2 peratus berbanding RM61.38 bilion (US$14.29 bilion) pada 2017.

“Ini adalah perkembangan positif kerana kita telahpun mencapai sasaran dagagan dua hala berjumlah US$15 billion menjelang 2020 di bawah MICECA (Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia India),” katanya. – BERNAMA


Pengarang :