EKONOMI

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR, 19 JUL: Bursa Malaysia mengekalkan momentum menaiknya dan ditutup tinggi hari ini selepas mencatat kerugian tiga hari berturut-turut, apabila pelabur mengambil kira kemungkinan penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat, yang sekali gus akan menarik lebih banyak kemasukan dana ke pasaran pesat membangun, termasuk Malaysia.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 0.56 peratus atau 9.26 mata lebih tinggi dan ditutup pada 1,658.19, berbanding 1,648.93 pada penutupan semalam.

Aliran meningkat itu diketuai saham mewah Petronas Chemicals yang untung 2.49 peratus atau 19 sen kepada RM7.81.

Indeks penanda aras dibuka 0.62 mata lebih tinggi kepada 1,649.55 awal hari ini dan bergerak antara 1,649.55 dan 1,658.94 di sepanjang hari.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 506 berbanding 311, manakala 433 kaunter tidak berubah, 641 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata pelabur terus yakin terhadap pasaran dan percaya kebanyakan pelabur hanya mengambil rehat sementara bagi menilai kedudukan pasaran.

Beliau berkata bagi pasaran tempatan, sentimen eksport yang positif semakin kukuh ekoran keyakinan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mencatat eksport bernilai lebih RM1 trilion tahun ini hasil daripada permintaan yang semakin meningkat ke atas produk tempatan.

“Asasnya ia wajar dilihat dari erspektif positif memandangkan data ekonomi domestik menunjukkan tanda-tanda pengukuhan, yang akan meningkatkan pertumbuhan tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Mengenai aspek analisis teknikal, beliau berkata pasaran tempatan memperlihatkan pergerakan menaik yang mantap, yang menyaksikan lantunan melebihi purata pergerakan 50 hari dan garis aliran menurun.

“Berasaskan kecenderungan kenaikkan harga selama sebulan, kami menjangkakan dapat melihat sentimen yang lebih baik pada sesi akan datang. Unjuran menaik kami ini disokong oleh petunjuk teknikal, yang mencadangkan FBM KLCI telah mencapai paras paling rendah,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Digi menokok dua sen kepada RM4.96, CIMB menambah sembilan sen kepada RM5.24, Dialog Group naik enam sen kepada RM3.51 manakala Top Glove dan Maybank masing-masing meningkat satu sen kepada RM4.66 dan RM8.87.

Bagi saham aktif, Sapura Energy menambah satu sen kepada 31 sen, Scomi meningkat satu sen kepada 10 sen dan warannya menambah setengah sen kepada empat sen, manakala KNM menokok dua sen kepada 37 sen, NETX dan Bumi Armada masing-masing meningkat setengah sen kepada dua sen dan 23 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 73.97 mata kepada 11,790.22, Indeks FBMT 100 naik 72.34 mata kepada 11,616.25 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 99.20 mata kepada 12,164.86.

FBM 70 melonjak 123.04 mata kepada 14,913.03 manakala FBM Ace turun 3.98 mata kepada 4,674.97.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 43.21 mata kepada 16,595.88, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menokok 1.48 mata kepada 156.81 namun Indeks Perladangan merosot 7.12 mata kepada 6,814.00.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.50 bilion unit bernilai RM1.60 bilion berbanding 2.83 bilion unit bernilai RM1.84 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.77 bilion saham bernilai RM1.47 bilion berbanding 1.91 bilion saham bernilai RM1.66 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran merosot sedikit kepada 375.90 juta unit bernilai RM69.47 juta berbanding 380.21 juta unit bernilai RM73.05 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE juga merosot kepada 352.87 juta saham bernilai RM60.26 juta berbanding 545.44 juta saham bernilai RM97.35 juta semalam.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 187.74 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (201.63 juta), pembinaan (101.23 juta), teknologi (141.50 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (30.89 juta) 66.17 juta), perladangan (7.85 juta), REITs (13.79 juta), dana/tertutup (7,900), tenaga (836.80 juta), penjagaan kesihatan (20.40 juta), telekomunikasi dan media (117.43 juta) , dan utiliti (23.52 juta). – BERNAMA


Pengarang :