Selangorkini
NASIONAL

Kontrak perolehan Kolej PERMATApintar ditandatangani pegawai tidak diberi kuasa

KUALA LUMPUR, 15 JUL : Sebanyak sembilan Kontrak Perkhidmatan Perunding berjumlah RM9.18 juta serta satu Kontrak Pembersihan dan Pencucian Bangunan bernilai RM3.46 juta bagi Kolej PERMATApintar ditandatangani pegawai yang tidak diberi kuasa.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini, kontrak juga tidak disemak Penasihat Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Perolehan peralatan dalam kontrak kerja bernilai RM38,500 dibuat tanpa kelulusan Naib Canselor UKM serta terdapat lebihan bayaran sebanyak RM99,500,” menurut laporan itu.

Sehubungan itu, Jabatan Audit Negara menggesa UKM menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat kecuaian pegawai dalam pengurusan kewangan dan penyediaan kontrak sehingga kontrak ditandatangani pegawai tanpa penurunan kuasa Lembaga Pengarah Universiti.

“UKM perlu menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai didapati cuai melaksanakan tanggungjawab dalam pengurusan dan pentadbiran kontrak bagi menjaga kepentingan UKM khususnya melibatkan bayaran dan syarat kontrak menyebabkan kerugian kepada UKM,” kata laporan itu.

Laporan itu turut mendedahkan, Kurikulum PERMATApintar High School Diploma belum mendapat pengiktirafan senat universiti bagi Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) selain UKM untuk kelayakan kemasukan ke Tahun 1 IPTA.

Pejabat Pendaftar UKM gagal membuat sebarang pengambilan bagi 70 perjawatan tambahan baharu untuk Program PERMATApintar walaupun diluluskan Kementerian Pendidikan pada 11 Jan 2017, menurut laporan itu.

Sementara itu, semakan terhadap Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mendapati RM2.50 juta daripada RM11.88 juta hutang tertunggak melibatkan 8,274 pesakit dalam, masih gagal dijelaskan manakala hutang tertunggak berjumlah RM6.92 juta bagi 28,216 pesakit dalam dan luar sejak 2000 hingga 2011, dihapus kira.

Penemuan Audit juga mendapati HUSM tidak membuat tuntutan pembekalan bukan ubat bernilai RM42,140 kepada USAINS Tech Services Sdn Bhd bagi tempoh 2015 hingga Februari 2017.

Susulan penemuan tersebut, jabatan itu mengesyorkan HUSM untuk menambah baik mekanisme kutipan hutang tertunggak bagi memastikan hutang dikutip dengan berkesan selain menjalankan siasatan dalaman terhadap pegawai.

“Tindakan sewajarnya perlu diambil jika terbukti pegawai terlibat melakukan kesalahan,” menurut laporan itu.

Sementara itu, semakan terhadap Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendapati universiti itu gagal mencapai sasaran 200,000 enrolmen seperti ditetapkan walaupun kampus Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) telah disiapkan.

“Kampus PFI siap dibina pada 2017, tujuh tahun selepas sasaran. Antara kelemahan utama dalam pengurusan projek ialah ketiadaan mekanisme penilaian, nilai untuk wang yang objektif dan menyeluruh, ketiadaan asas penetapan skop dan kos siling projek serta kelemahan dalam aspek pembinaan,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga mendapati terdapat kelemahan dalam pengurusan pembinaan melibatkan isu kesesuaian reka bentuk, ketidakpatuhan kepada spesifikasi dan lukisan serta kualiti pembinaan kurang memuaskan.

Justeru, jabatan berkenaan mengesyorkan UiTM untuk meningkatkan pemantauan terhadap perkhidmatan pengurusan aset oleh syarikat konsesi supaya syarat dan tanggungjawab dilaksanakan mengikut ketetapan Perjanjian Konsesi.

UiTM juga disarankan membuat semakan lengkap terhadap Sistem Pengurusan Kemudahan Berkomputer di semua kampus PFI bagi memastikan sistem berfungsi seperti ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi selain menjamin kepentingan kerajaan.

-BERNAMA


Pengarang :