NASIONAL

Pesakit lebihi ‘level of care’ punca jabatan kecemasan hospital sesak

KUALA LUMPUR, 15 JUL: Kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) di hospital seluruh negara berpunca daripada jumlah kunjungan pesakit melebihi ‘Level of Care’ yang ditetapkan, iaitu antara 5.7 hingga 95.6 peratus.

Menurut Laporan Audit Negara 2018 Siri 1, secara keseluruhannya rawatan kecemasan dan trauma telah diberikan kepada semua pesakit walaupun sebahagian pesakit terpaksa menunggu lama.

“Ini disebabkan peningkatan kedatangan pesakit terutamanya bagi kes bukan kecemasan dan kekangan yang dihadapi oleh ETD dari aspek beban tugas yang tinggi, kekurangan peralatan perubatan, ruang yang terhad dan ketidakupayaan sistem ICT.

“Perkara ini telah memberi kesan terhadap perkhidmatan rawatan kecemasan yang pantas dan tepat kepada pesakit,” menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.

Ia merupakan antara faktor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mencapai Key Performance Indicators (KPI) Medical Emergency Coordinating Centre (MECC) bagi kes keutamaan kategori 1 (Priority 1: kes kritikal) seperti yang ditetapkan.

“Hanya 58.7 hingga 74.5 peratus pesakit dirawat dalam tempoh kurang dari empat hingga enam jam dan terdapat 917 kes Access Block yang mana pesakit tidak dapat dipindahkan ke wad perubatan,” katanya.

Selain itu, ETD turut mengalami kekurangan perjawatan iaitu antara 11.6 hingga 53.1 peratus berbanding bilangan perjawatan diperlukan berdasarkan pengiraan Workload Indicators of Staffing Need (WISN) 2010.

Laporan itu turut menyebut kekurangan perjawatan bagi pakar kecemasan adalah antara 75.6 hingga 79.5 peratus, pegawai perubatan antara 41.2 hingga 64.6 peratus, penolong pegawai perubatan antara 2.6 hingga 33.9 peratus dan jururawat terlatih antara 17.4 hingga 67.1 peratus.

ETD juga turut mengalami kekurangan bilangan katil bagi ruang rawatan di Zon Kuning, Zon Merah dan Observation Ward/Bay kerana menerima jumlah pesakit yang semakin meningkat menyebabkan mereka terpaksa menyediakan antara lapan hingga 50 unit atau dua hingga lima kali ganda bilangan katil tambahan atau sofa.

Selain itu, ETD juga mengalami kekurangan sebanyak 108 (50.9 peratus) daripada 212 peralatan perubatan yang perlu disediakan mengikut keperluan Emergency Medicine and Trauma Services Policy (EMTSP) serta peralatan komputer yang dibekalkan tidak mencukupi meskipun penggunaan sistem ICT telah mencapai tahap optimum.

Laporan itu mengesyorkan KKM supaya mewujudkan koordinasi dan integrasi antara hospital, klinik kesihatan awam dan swasta bagi memperkukuhkan perkhidmatan pra hospital sebagai institusi khusus yang menyediakan perkhidmatan kesihatan bersepadu dan menyeluruh serta mewujudkan kesamarataan dalam pembahagian pengurusan kes.

Di samping itu, Jabatan Perkhidmatan Awam perlu menimbangkan untuk memberi pengecualian melaksanakan Dasar Mengoptimumkan Sumber Manusia melalui pengurangan saiz perjawatan sebanyak satu peratus kepada KKM.

Selain itu, KKM perlu diberikan perjawatan tambahan bagi mengatasi masalah kekurangan kakitangan kesihatan termasuk pakar kecemasan berbanding peningkatan beban kerja.

KKM pula, dengan kerjasama Kementerian Kewangan perlu mempertimbangkan kaedah yang lebih komprehensif dalam menangani masalah kekurangan fasiliti seperti outsourcing atau leasing bagi memberikan perkhidmatan kecemasan yang lebih baik serta dapat mengurangkan beban perbelanjaan Kerajaan.

KKM juga perlu memberi keutamaan terhadap keupayaan infrastruktur dan sistem ICT agar tidak menjejaskan kecekapan perkhidmatan kecemasan terutamanya dari aspek pengurusan data dan membuat keputusan yang pantas.

– BERNAMA


Pengarang :