Abdullah Hamdok, angkat sumpah sebagai Perdana Menteri Sudan pada 21 Ogos 2019. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Abdullah Hamdok angkat sumpah sebagai Perdana Menteri Sudan

KHARTOUM, 22 OGOS: Abdullah Hamdok pada Rabu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Sudan, lapor agensi berita Anadolu.

Beliau akan menerajui pentadbiran negara sepanjang tempoh peralihan kuasa selama tiga tahun.

Bercakap kepada pemberita, Hamdok berkata misi utamanya adalah untuk “menamatkan perang di negara ini, mencapai keamanan mampan dan mengatasi masalah ekonomi.”

Hamdok, seorang ahli ekonomi antarabangsa, adalah perdana menteri pertama di kalangan orang awam sejak 1989, apabila Presiden Omer Al-Bashir menggulingkan Perdana Menteri yang dipilih rakyat Sadiq al-Mahdi.

Majlis Kedaulatan yang dibentuk di bawah perjanjian perkongsian kuasa antara Majlis Tentera Peralihan (TMC) Sudan dan Alliance of Freedom and Changes Forces (AFCF).

Ia terdiri lima anggota tentera yang dicalonkan TMC, lima wakil FFC selain seorang calon awam yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Leftenan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan akan menerajui majlis 11 anggota itu selama 21 bulan, kemudian diganti wakil pihak awam yang akan memimpin untuk tempoh 18 bulan, sebelum pilihan raya diadakan.

Presiden Omar al-Bashir yang telah memerintah selama 30 tahun digulingkan tentera pada April selepas rakyat mengadakan bantahan selama berbulan-bulan.

-BERNAMA


Pengarang :