SAC Abdullah Mohammad Piah (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada 15 Ogos. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Dadah: Wanita warga emas bersama dua anak lelaki diberkas

KOTA BHARU, 15 OGOS: Seorang wanita warga emas berumur 62 tahun bersama dua orang anak lelakinya antara tujuh suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes pengedaran dadah dalam tiga serbuan pada 13 dan 14 Ogos lepas.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Abdullah Mohammad Piah berkata, wanita dan dua anak lelaki berumur 30 dan 22 tahun itu ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada 13 Ogos lepas di sebuah rumah di Kampung Tok Buak Tendong, Pasir Mas pada pukul 11.30 malam.

“Tangkapan itu dilakukan hasil maklumat awam yang diperoleh berkaitan aktiviti dadah yang dilakukan oleh tiga beranak terbabit sejak enam bulan lepas.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah terbabit pihak kami menemui heroin seberat 1,503 gram bernilai RM140,000 yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand untuk edaran di Pasir Mas dan Kota Bharu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Abdullah berkata, hasil pemeriksaan, anak warga emas yang berumur 30 tahun itu mempunyai dua rekod lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua suspek ini bekerja sebagai penghantar sayur ke Thailand dan bekalan dadah itu dibawa masuk secara berasingan. Mereka direman selama tujuh hari dari 14 sehingga 20 Ogos dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Dalam serbuan kedua pada 14 Ogos di sebuah bot di Jeti Pengkalan Mega Tok Bali, polis menahan dua lelaki warganegara Kemboja berumur 34 dan 32 tahun serta seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Serbuan itu dilakukan pada pukul 9 pagi dan hasil pemeriksaan kami menemui 980 biji pil Yaba dan 17.57 gram syabu bernilai RM12,635.50.

“Bekalan itu dipercayai untuk diedarkan kepada nelayan di kawasan terbabit, dan hasil semakan mendapati warganegara tempatan mempunyai dua rekod berkaitan dadah manakala dua suspek Kemboja tiada rekod lampau namun positif Methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula 15 sehingga 21 Ogos dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Abdullah berkata, dalam serbuan ketiga di Kampung Gunong, Bachok polis menahan seorang suspek lelaki berumur 29 tahun dan merampas 112 pil yaba bernilai RM1,680.

Katanya, tangkapan itu dilakukan di tepi Jalan Kampung Bukit Temalong, Gunong dan suspek terbabit direman selama 4 hari dari 15 hingga 18 Ogos dan disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Nilai keseluruhan rampasan dadah ketiga-tiga kes terbabit bernilai RM154,315.50 manakala nilai sitaan sebanyak RM107,886 melibatkan wang tunai, sebuah kenderaan pacuan empat roda, kereta, motosikal dan topi keledar, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :