AGENDA NASIONAL

Gangguan sistem di KLIA ditangani, kesesakan berkurangan

SEPANG, 24 OGOS: Gangguan sistem di KLIA mula ditangani dan keadaan bertambah baik dengan kesesakan di lapangan terbang itu berkurangan dan orang ramai yang beratur di kaunter daftar masuk terkawal.

Ini berikutan tindakan Malaysia Airports menangani masalah dengan menggantikan peralatan rangkaian selepas ia dikenal pasti punca kegagalan rangkaian dan sistem.

Gangguan sistem sejak Rabu malam (21 Ogos) menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Penerbangan Malaysia, Raja Azmi Raja Nazuddin dalam satu kenyataan berkata, sejak penggantian peralatan rangkaian, terdapat kemajuan dalam kestabilan rankaian.

“Sistem kritikal di terminal utama KLIA kebanyakannya kini berjalan dengan lancar,” katanya

Jurucakap Malaysia Airports berkata mereka masih memantau kestabilan sistem sejak penggantian peralatan itu.

Tinjauan Bernama pada 9.30 pagi mendapati keadaan lapangan terbang itu dalam kawalan dan kakitangan Malaysia Airports kelihatan di serata tempat membantu para penumpang.

Duta Airport CARE itu bekerja keras bagi menentukan keselesaan penumpang dengan mengedarkan minuman teh dan kopi dari 6.30 pagi hingga 9 pagi.

– BERNAMA


Pengarang :