Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (dua, kanan) mengiringi Presiden Indonesia Joko Widodo memeriksa barisan kehormat daripada Batalion Pertama Rejiman Askar Melayu Diraja semasa sambutan rasmi di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra pada lawatan rasmi Presiden Indonesia itu ke Malaysia hari ini. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Jokowi diberi sambutan karpet merah di Perdana Putra

PUTRAJAYA, 9 OGOS: Presiden Indonesia Joko Widodo diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana di sini hari ini sempena lawatan rasmi beliau selama dua hari ke Malaysia.

Beliau yang ditemani isterinya, Iriana Joko Widodo, tiba di sini pada pukul 10.28 pagi dan disambut oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Ali.

Joko Widodo atau dikenali sebagai Jokowi tiba bersama isteri di Malaysia petang semalam.

Selepas lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, beliau memeriksa barisan kehormatan yang terdiri daripada 106 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejiman Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejer Mohd Shaiful Amir Omar.

Jokowi kemudian mengadakan kunjungan hormat ke atas Dr Mahathir.

Menurut kenyataan Wisma Putra, ini merupakan lawatan pertama Jokowi ke luar negara selepas dipilih semula bagi penggal kedua dalam Pilihan Raya Presiden pada 17 April lepas.

Indonesia merupakan negara jiran paling dekat dan terpenting untuk Malaysia dan merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.

Pada 2018, jumlah perdagangan dua hala yang direkodkan adalah sebanyak RM72.02 bilion (US$17.85 billion), meningkat 7.4 peratus berbanding RM71.51 bilion (US$16.62 billion) pada 2017.

-BERNAMA


Pengarang :