Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip (duduk dua,kanan) bergambar bersama para pelajar dari sekolah sekitar Merbok pada Program Santai bersama Timbalan Perdana Menteri anjuran Parlimen Merbok di Jeti Semeling hari ini. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Kerajaan perlu input rakyat pastikan inisiatif relevan

SUNGAI PETANI, 24 OGOS: Input daripada rakyat amat diperlukan bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan kerajaan sentiasa relevan dan menepati keperluan serta kehendak rakyat, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memerlukan sokongan rakyat dalam membantu menyebarkan maklumat berhubung semua insiatif yang sudah dirancang.

Beliau berkata, kerajaan kini dalam usaha membangunkan negara dengan melaksanakan pelbagai inisiatif berpaksikan kepentingan rakyat, berdasarkan kemampuan dan kesesuaian mekanisme pelaksanaannya.

“(Oleh itu) Saya menyeru kepada semua untuk menyokong, menyebarkan maklumat dan memberikan maklum balas melalui saluran betul supaya usaha kerajaan dapat disebar luas kepada semua golongan sasaran dengan lebih berkesan.

“Janganlah pula tidak bertanggungjawab menyampaikan cerita yang bukan-bukan,” katanya ketika berucap pada majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Jeti Semeling, di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah juga menyeru supaya semua ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) memainkan peranan masing-masing sebagai titik penghubung kepada rakyat di peringkat akar umbi bagi membantu dan menyampaikan aspirasi rakyat kepada kerajaan dan sebaliknya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua pihak supaya sentiasa bekerjasama dalam usaha mengangkat isu rakyat sebagai keutamaan dalam semua tindakan.

Pada majlis itu, lebih kurang 20 agensi kerajaan mengambil bahagian antaranya Jabatan Penerangan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Universiti Teknologi MARA Kedah, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Perbandaran Sungai Petani.

-BERNAMA


Pengarang :