AGENDAGLOBAL

Letupan bom di daerah Yala, 9 orang awam cedera

YALA, 21 OGOS: Empat daerah di wilayah Yala, selatan Thailand digegarkan dengan beberapa letupan bom dan menyebabkan sembilan orang awam cedera, termasuk tiga kanak-kanak.

Ketua Polis Wilayah Yala Mej Jen Pol Krissada Kaewjandi berkata letupan pertama dipercayai berlaku kira-kira 7.10 malam (waktu tempatan) semalam di Kg Jakbenae, Daerah Yaha yang mana lima butir bom diletupkan dan menyebabkan lima tiang elektrik tumbang dan tiga orang awam cedera, termasuk dua wanita.

Selain itu, beliau berkata dua butir bom diletupkan berdekatan Masjid Kpg Nibong, Daerah Mueang Yala dan menyebabkan dua tiang elektrik tumbang namun tiada kecederaan dan kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 7.20 malam (waktu tempatan).

“Di Daerah Than To, dua butir bom diletupkan. Bom pertama diletupkan di mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank tempatan dan menyebabkan seorang awam cedera.

“Sebutir bom meletup di dalam sebuah pasar serbaguna dan menyebabkan lima orang awam termasuk tiga kanak-kanak perempuan,” katanya ketika dihubungi.

Di Daerah Benang Setar, Krissada berkata sebutir bom diletupkan di Pejabat Lembaga Getah Cawangan Benang Setar namun tiada kecederaan dan kehilangan jiwa dilaporkan.

“Suspek juga membakar tiang pancaran telefon dan tayar di Jalan Yala-Betong di Kg Bannang Kuwae,” katanya.

Setakat ini, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut.

-BERNAMA


Pengarang :