Penjawat awam yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan pentadbiran Selangor hari ini. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Hargai pengorbanan pejuang merdeka

SHAH ALAM, 19 OGOS: Semangat pengorbanan yang digagaskan pejuang kemerdekaan dahulu perlu dihargai kerana ia menjadi pencetus kepada kemajuan dan kemakmuran Malaysia hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, rasa cinta kepada negara perlu diberi keutamaan berbanding perkara lain supaya kemerdekaan dikecapi lebih bermakna, di samping meningkatkan ekonomi ke arah lebih baik.

“Apakah erti kenegaraan? Kalau boleh saya jawabkan dengan jujur dalam cara paling sederhana. Begini, jika ikutkan hati, kita mungkin memilih untuk tidak membayar cukai, hidup bersama kaum kita sahaja tanpa kaum lain atau mungkin tidak mahu bahasa lain dituturkan sama sekali.

“Di situlah letaknya erti bernegara, setiap daripada kita perlu berkorban supaya kecintaan kepada watan diutamakan berbanding yang lain. Semangat pengorbanan itulah yang ditunjukkan pejuang kemerdekaan dahulu, yang membolehkan kita menikmati keadaan aman dan selesa sekarang.

“Tanpa pengorbanan, tiada kemerdekaan. Tanpa kemerdekaan, kemajuan tidak bermakna dan hidup menjadi tidak bererti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Selaras dengan semangat kemerdekaan, Kerajaan Negeri turut bercadang untuk melaksanakan dasar pembangunan negeri yang lebih bertanggungjawab dan lestari bagi menghadapi cabaran mendatang.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan keadaan status quo sekarang. Selangor perlu berubah. Ia perlu menjadi pencetus keajaiban ekonomi dan berada di baris paling hadapan dalam barisan kemakmuran ASEAN.

“Sebagai pemimpin, menjadi tanggungjawab saya untuk membuat tindakan yang betul bagi kebajikan dan maslahat jumlah terbesar kalangan rakyat.

“Walaupun langkah yang dilakukan dijangka tidak popular, tetapi bagi memastikan kelangsungan pentadbiran ini, kita bertekad untuk meneruskan polisi yang betul dalam menjamin masa depan anak cucu kita nanti,” katanya.

Dalam majlis sama, Amirudin turut meletakkan bendera Malaysia di kenderaan Pihak Berkuasa Tempatan dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang.


Pengarang :