AGENDANASIONAL

Nilai ambil alih empat konsesi lebuh raya bertol belum muktamad

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Sejumlah RM6.2 bilion yang ditawarkan kerajaan bagi mengambil alih empat konsesi lebuh raya bertol di Lembah Klang bukan nilai muktamad, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan proses sewajarnya sebelum memuktamadkan nilai sebenar.

“Jika proses wajar itu mendapati nilai berkenaan terlalu rendah atau terlalu tinggi, sesuatu perlu dilakukan. Nilai terbabit bukan muktamad,” katanya kepada media selepas perasmian Islamic Finance Innofest 2019, anjuran Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), di sini hari ini.

Pada majlis itu, Amiruddin turut melancarkan laporan bertajuk “Harnessing Value- based Intermediation: The Role of Development Financial Institutions”.

Beliau berkata, keutamaan kerajaan Pakatan Harapan adalah memastikan hasrat dalam manifesto untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan tol terlaksana.

“Pada asasnya, kita harap ia akan memberikan kesan positif kepada pengguna jalan raya dan tidak menambah beban kewangan kepada kerajaan,” katanya.

Pada Jun tahun ini, Kementerian Kewangan mengemukakan tawaran rasmi untuk mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang, iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Tawaran pengambilalihan itu dibuat kepada Gamuda Bhd, selaku syarikat pemegang konsesi keempat-empat lebuh raya berkenaan.

Semalam dilaporkan bahawa pengambilalihan yang dicadangkan oleh kerajaan ditunda bagi semakan harga.

-BERNAMA


Pengarang :