Satu tiang penopang di jejambat di kawasan Bulatan Billion, Cheras mengalami keretakan. Paparan skrin Google
AGENDANASIONAL

Tiang penopang jejambat ke Bulatan Billion Cheras retak

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Salah satu daripada tiang penopang di jejambat susur laluan dari arah Ampang ke Bulatan Billion, Cheras di Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) di sini dikesan mengalami keretakan.

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) berikutan itu lorong kenderaan di susur itu dikecilkan bagi menghadkan bebanan di jejambat itu sebagai langkah keselamatan.

“Pengecilan lorong ini dilakukan selama empat bulan dan akan dibuka semula setelah siasatan terperinci dan kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan,” menurut kenyataan jabatan itu.

Selain papan tanda dan notis dipasang di lokasi itu, petugas pengawal bendera juga sentiasa ditempatkan untuk mengawal lalu lintas dan membantu pengguna jalan raya.

Menurut kenyataan itu lagi, Bahagian Forensik Jambatan JKR mengesan keretakan itu melalui pemeriksaan pada 23 Julai lalu dan sehubungan itu tindakan mengecilkan lorong daripada enam meter kepada 3.5 meter diambil pada 8 Ogos.

Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut boleh menghubungi JKR daerah Hulu Langat di talian 03-89114040.

– BERNAMA


Pengarang :