Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jho Low penasihat khas tidak rasmi Najib

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini bahawa Low Taek Jho atau Jho Low adalah penasihat khas tidak rasmi kepada Datuk Seri Najib Razak dalam menjalankan tugas khas belakang tabir termasuk menguruskan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri itu, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin berkata, selain menguruskan syarikat itu, Jho Low turut menjalankan tugas khas belakang tabir yang tidak diketahui pihak luar.

Katanya, ia membabitkan banyak perkara termasuk program antarabangsa, lawatan kerja, cadangan perniagaan dan dasar serta kerja kebajikan.

“Setiap arahan diberikan Jho Low perlu dilaksanakan kerana saya percaya beliau mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada Najib.

“Saya tidak pernah mempersoalkan setiap arahan itu, namun ada kalanya dan bila perlu, Datuk Azlin Alias, yang ketika itu bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib atau saya sendiri pernah bertanya semula kepadanya (Najib) berhubung arahan itu untuk mendapatkan kepastian.

“Pada kebanyakan masa, saya dimaklumkan Najib bahawa arahan yang diberikan Jho Low dipersetujui olehnya dan Datuk Azlin juga pernah memaklumkan kepada saya bahawa setelah diperiksa, arahan yang Jho Low berikan sentiasa dipersetujui Najib dan kami diminta membuat tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Amhari Efendi, 43, yang ketika itu bertugas di Bahagian Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, Jho Low juga adalah pencatur dalam urusan pelaburan, rundingan antara kerajaan atau G to G serta pencatur politik Najib termasuk dana yang diperoleh bekas perdana menteri berkenaan.

Beliau yang kini tidak bekerja memaklumkan bahawa Jho Low akan mengarahkannya dan Datuk Azlin dalam melaksanakan arahan Najib.

“Selain itu, ada juga individu lain yang turut dikenali Jho Low di PMO yang akan mengambil tindakan terhadap arahannya serta kebanyakan arahan ini akan dilaksanakan,” katanya yang turut memaklumkan walaupun Jho Low masih muda, tetapi beliau mempunyai karisma dan kuasa luar biasa.

Saksi pendakwaan kelapan itu turut menjelaskan sepanjang berkhidmat dengan Najib, beliau selalu berjumpa dengan Jho Low bagi membincangkan beberapa perkara termasuk perkara sulit.

“Ada masa, arahan khas membabitkan perkara sulit kepada Datuk Azlin atau saya turut datang daripada Jho Low dan saya pasti arahan itu kebanyakannya disampaikan atau diketahui serta dipersetujui Najib sendiri.

“Saya katakan begitu kerana kebanyakan masa, Datuk Azlin atau saya akan semak semula arahan diterima daripada Jho Low dan Najib, kami dapati beliau (Najib) sedia maklum serta mengetahuinya dan ada masanya beliau bersetuju serta mengarahkan kami untuk melaksanakannya,” katanya.

Amhari Efendi, yang juga seorang daripada saksi penting berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari ketiga perbicaraan kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-BERNAMA


Pengarang :