Masjid-masjid di Melaka tunai solat hajat mohon hujan bagi mengatasi jerebu yang melanda negara. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Masjid di Melaka anjur solat hajat mohon hujan

MELAKA, 18 SEPT: Masjid-masjid utama di negeri ini, hari ini, melaksanakan solat sunat istisqa atau solat hajat bagi mohon hujan dan khutbah khas berikutan isu air dan jerebu yang melanda negeri ini, baru-baru ini.

Tinjauan di Masjid Al-Azim, Bukit Palah mendapati, lebih 300 jemaah menunaikan solat hajat sejurus selesai menunaikan solat Zuhur manakala khutbah khas itu disampaikan Imam 1, Mohamad Nuralif Radani.

Sementara itu, pada masa sama kira-kira 100 jemaah turut menunaikan solat sunat yang sama masing-masing di Masjid Al-Ghaffar, Jasin dan Masjid Selat, Pulau Melaka.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, pelaksanaan solat sunat itu membabitkan tujuh masjid di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) termasuk di Masjid Saidina Ali, Melaka Tengah; Masjid Ar Rasyidin, Alor Gajah serta Masjid Cina Krubong dan Masjid Al-Alami MITC.

“Buat masa ini, hanya masjid tersenarai melaksanakan program ini manakala pada hari Jumaat, program sama akan membabitkan 165 masjid seluruh negeri,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Halim berkata, antara pengisian khutbah khas, itu meminta seluruh umat Islam di negeri bersabar dengan ujian dihadapi dan berdoa supaya diturunkan hujan rahmat.

“Kita juga memohon supaya masalah jerebu yang sedang melanda negeri dan seluruh negara ini akan selesai di samping mengajak masyarakat supaya bersatu-padu, berkasih sayang serta saling menghormati, memohon keampunan Allah atas kesilapan serta kealpaan kita semua,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari turut mengeluarkan kenyataan berkenaan majlis solat hajat itu di laman rasmi Facebooknya, yang mana selain memohon hujan, solat berkenaan turut meminta kesejahteraan ke atas negeri ini yang kini sedang berhadapan beberapa isu seperti air dan jerebu.

Beliau berkata, negeri ini sehingga hari ini mengalami penurunan bekalan air terawat sebanyak 13.9 peratus, iaitu hanya 550 juta liter bekalan berbanding 639 juta liter sehari.

— BERNAMA


Pengarang :